Gempar !!! Sokong Anwar? Ini jawapan Dr Maszlee

Gempar !!! Sokong Anwar? Ini jawapan Dr Maszlee

Nama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tiba-tiba hangat diperkatakan di celah-celah kemelut isu peralihan kuasa politik negara.

Dalam satu sesi soal jawab bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, Maszlee mengakui hanya ada satu cara untuk menamatkan krisis kepimpinan negara ketika ini.

Tegasnya, isu usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diselesaikan di Dewan Rakyat.

Berikut adalah teks penuh temu ramah bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Kerajaan pimpinan Muhyidin telah terbukti gagal menangani semua krisis ini dan kepimpinan Muhyiddin langsung tidak berjaya mencari jalan keluar yang meyakinkan.

Menteri yang ada bukan sahaja tidak efisien, bahkan Menteri sendiri melanggar undang-undang. Ini adalah hasil daripada barisan Kabinet yang dipilih cuma berasaskan parti demi survival politik segelintir individu, dan bukannya kerana merit.

Apa yang berlaku sekarang adalah rakyat menderita dan kehilangan pekerjaan malah berhadapan pula dengan krisis ekonomi terutamanya selepas moratorium berakhir Oktober ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan Muhyiddin sibuk merampas kerajaan Sabah sehingga membawa kepada peningkatan kes positif Covid-19. Hasilnya kini bukan rakyat Sabah saja yang menderita, Covid-19 kini juga telah merebak hingga ke Semenanjung sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dilaksanakan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketika ini semua berlaku, di mana Menteri? Di mana Menteri Kesihatan ketika kes Covid-19 mencecah lebih dari 800 sehari? Di mana Menteri Pendidikan ketika anak-anak tidak lagi boleh ke sekolah untuk belajar? Di mana Menteri Pengajian Tinggi ketika anak siswa kita dalam kesusahan? Bagaimana pula dengan menteri yang melanggar undang-undang kuarantin tetapi masih bebas berbanding rakyat biasa?

Menteri yang ada hari ini bukan sahaja tidak berdepan dengan rakyat dan membuat penjelasan, bahkan begitu takut dengan media sehingga menyebabkan rakyat terpinga-pinga ketidaktahuan.

Apakah ini yang rakyat mahukan? Sokongan saya kepada Anwar itu bukan soal yang penting. Yang penting dan membimbangkan bagi saya ialah negara kita sekarang bukan saja berada dalam krisis ekonomi dan krisis kesihatan, bahkan krisis kemanusiaan dan krisis kepimpinan di bawah kepimpinan kerajaan yang diragui kestabilannya, dan dianggotai oleh barisan kabinet yang tidak efisien.

– Banyak pihak yang menyatakan bahawa Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, adakah hal ini benar-benar berlaku atau hanya khabar angin?

Saya fikir hanya ada satu cara saja untuk menyelesaikan kemelut ini. Kita selesaikan perkara ini di Dewan Rakyat. Ini juga akan menjadi bukti kepada rakyat, berapa majoriti sokongan yang Perdana Menteri miliki hari ini. Sekali gus ini juga mengikut lunas-lunas perlembagaan dan memperkasa sistem demokrasi yang kita amalkan.

– Speaker Dewan Rakyat ada mengeluarkan kenyataan bahawa usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat hanya akan berjaya dikemukakan jika pihak Kerajaan bersetuju untuk memberi laluan. Adakah ini bermakna bahawa usaha yang dibuat oleh ahli Parlimen Langkawi dan lain-lain ini hanya sia-sia?

Sebenarnya tidak. Usul undi tidak percaya masih lagi boleh digunakan untuk menguji sokongan sebenar yang dimiliki oleh Muhyiddin sekiranya beberapa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat digantung sementara daripada dikuatkuasakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Untuk itu, saya telah menghantar satu usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan 90 (2) mencadangkan agar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang mengutamakan urusan kerajaan digantung oleh Majlis Mesyuarat sehingga selesai usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Yang Berhormat Langkawi terhadap Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh dibaca dan diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Saya juga pada masa yang sama telah memasukkan satu usul mencadangkan agar Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bersetuju untuk menetapkan bahawa aturan urusan mesyuarat pada hari Isnin, 2 November 2020 diubah daripada kelaziman susunan dalam Peraturan 14 (1) dengan memberi laluan agar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa oleh Yang Berhormat Langkawi terlebih dahulu didengar dan diputuskan sejurus selesai pemasyhuran daripada Speaker.

Kita perlu berhadapan dengan realiti yang sebenar, keadaan ekonomi sedang tenat, dan kes Covid-19 semakin memburuk di seluruh negara. Tanpa kestabilan politik dan urus tadbir yang telus, saya tidak nampak nasib rakyat akan terbela. Jika semua pihak jujur maka inilah masanya untuk membuktikan keikhlasan itu di Dewan Rakyat dengan menyokong kedua-dua usul yang saya bawa dan tentunya usul daripada Yang Berhormat Langkawi pada Isnin, 2 November 2020 agar suasana politik negara kembali tenang dan kepercayaan rakyat segera dipulihkan.

– Jika benar, Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, siapakah yang layak dan bakal menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri?

Persoalannya siapakah yang mempunyai angka sokongan yang cukup untuk memimpin negara ini sekali gus membawa negara keluar dari krisis ini? Ini adalah berdasarkan lunas demokrasi berparlimen ala-Westminster.

Kita maklum bahawa Anwar telah mengadap Seri Paduka Baginda dengan angkanya dan ini telah didedahkan kepada umum. Kita juga telah dikejutkan dengan dua nama baru yang muncul sejak beberapa hari yang lalu iaitu Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Atau adakah seseorang daripada Bersatu yang akan diusulkan untuk menggantikan Muhyiddin demi mendapat sokongan ahli Parlimen?

Kita maklum dalam Kabinet, selepas Muhyiddin calon Bersatu dan Menteri yang paling kanan yang ada ialah Datuk Seri Mohammed Azmin Ali, yang juga merupakan antara arkitek Langkah Sheraton tempoh hari.

Ini semua spekulasi, namun yang boleh menentukan kebenarannya ialah rakan-rakan yang telah bersama dalam Langkah Sheraton membentuk kerajaan Muhyiddin yang lalu. Soalan yang perlu ditanyakan kepada UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak adalah apakah mereka bersetuju untuk mencalonkan Azmin sebagai PM sekiranya spekulasi ini benar? Atau lebih tepat lagi, adakah rakyat mahukan Azmin sebagai PM?

– Ada yang berpendapat perebutan kuasa ini hanya berlaku dalam kalangan ahli politik dan percaturan pihak atasan serta tidak menterjemahkan apa yang rakyat perlu. Apa respon Yang Berhormat?

Hari ini, rakyat perlukan kestabilan politik. Rakyat perlukan pentadbiran yang fokus untuk menyelesaikan masalah. Rakyat perlukan ekonomi yang stabil, dipacu oleh inisiatif serta langkah intervensi oleh pihak Kerajaan yang berterusan dan mapan.

Rakyat perlu makanan di atas meja mereka. Rakyat perlu sistem kesihatan yang boleh membantu mereka mengelakkan Covid-19. Rakyat perlukan sistem sokongan pendidikan yang lebih jelas demi masadepan anak-anak mereka. Rakyat perlu pemimpin yang boleh memimpin mereka keluar dari kemelut ini.

Ini yang rakyat terbanyak perlukan. Sekiranya pemimpin dan kerajaan yang ada dilihat dan diyakini tidak dapat menyediakan penyelesaian jangkamasa panjang, maka adalah munasabah untuk kita gantikan dengan pemimpin dan kerajaan yang lebih baik.

– Baru-baru ini ketika Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengeluarkan arahan saat akhir tidak membenarkan pelajar mendaftar di Universiti, Yang Berhormat bertindak menganjurkan crowdfunding untuk membantu pelajar-pelajar yang terkandas. Kenapa Yang Berhormat melakukannya dan apakah yang mendorong bertindak sedemikian?

Mudah, saya fikir apa yang sebenarnya pelajar perlukan, rakyat perlukan. Sebagai bukan menteri dan bukan kerajaan, saya fikir apakah platform, ruang untuk saya dan rakyat kebanyakan turut membantu.

Mereka perlukan penyelesaian, jalan keluar yang segera. Lebih 4,000 pelajar yang memohon dan menceritakan segala macam kekangan yang mereka hadapi, yang pada saya boleh dielakkan sekiranya KPT lebih cermat dan berhati-hati.

Alhamdulillah saya, dengan kerjasama pasukan Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan dapat kumpulkan lebih dari RM150,648 dan dapat bantu seramai 1,087 pelajar dari kekangan yang mereka hadapi. Seramai 31,867 rakyat Malaysia telah turut sama menyumbang dalam kempen ini.

Begitu juga dengan Sabah sekarang. Kita telah lancarkan kempen ‘Kita Jaga Sabah’ untuk sedikit sebanyak meringankan beban masyarakat Sabah yang terkesan dengan pandemik ini.

Pendek kata, saya rasa saya sepertimana juga mana-mana pemimpin perlu fikir dan buat apa yang rakyat perlukan, bukan apa yang parti dan diri sendiri perlukan.

– Apakah pesanan terakhir Yang Berhormat terhadap krisis yang sedang berlaku di negara kita hari ini?

Pesan saya, sebagai ahli politik, saya dan semua ahli Parlimen yang lain perlu bekerja lebih keras dan meletakkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan peribadi, kepentingan parti, kepentingan blok dan kepentingan isme.

Saya juga berharap kerajaan dan pembangkang dapat sama-sama duduk semeja berpadu tenaga untuk mencari jalan keluar daripada krisis yang kita semua hadapi ini. Ini boleh dilakukan sekiranya kita benar-benar sayangkan negara dan rakyat lebih dari sayangkan diri dan parti.

Akhir sekali, saya doakan agar kita semua dapat bersama-sama melawan Covid-19 ini. Kita masih belum menang, tapi kita pasti menang.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105859/BERITA/Wawancara/Maszlee-Malik-minta-usul-tidak-percaya-terhadap-Muhyiddin-diselesaikan-di-Dewan-Rakyat

COMMENTS