Gambar suami curang tak laku jadi bukti, peguam dedah cara isteri kenakan suami di mahkamah

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Tiada siapa yang menginginkan perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan.

Namun, dalam banyak kes penceraian, salah satu punca utama adalah masalah curang.

Baru-baru ini, seorang peguam berkongsi cerita di TikTok mengenai kliennya yang ingin memfailkan penceraian

kerana mendakwa suaminya telah berlaku curang dengan pembantu peribadi sehingga terlanjur.

Peguam syarie, Nurul Hanan Jasmin, berkata kliennya mendakwa mempunyai bukti bergambar yang menunjukkan suaminya melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Gambar suami curang tak laku jadi bukti, peguam dedah cara isteri kenakan suami di mahkamah

Pembuktian seperti ini penting, kerana dakwaan yang dibuat bukan sahaja melibatkan dosa, tetapi juga maruah seseorang.

Namun, timbul persoalan sama ada bukti seperti gambar aib pasangan yang sedang berdua-duaan tanpa pakaian lengkap boleh dijadikan senjata oleh isteri untuk menuduh suaminya berzina dan seterusnya menuntut cerai.

Nurul Hanan memberikan penjelasan tentang hal ini. Menurut beliau, gambar sahaja tidak mencukupi untuk menuduh seseorang berzina.

“Untuk menuduh suami berzina, seorang isteri perlu mengemukakan empat orang saksi lelaki yang menyaksikan perlakuan zina tersebut.

Jika isteri tidak dapat membawa saksi yang sah, wanita itu boleh dikenakan hukuman qazaf,” jelasnya.

Qazaf merujuk kepada tuduhan berzina tanpa bukti yang sah iaitu empat saksi lelaki yang adil.

Jadi, bagaimana jika seorang isteri tetap mahu bercerai walaupun suaminya didakwa curang?

Nurul Hanan memberikan beberapa panduan bagi isteri yang menghadapi situasi ini agar dapat mengambil tindakan undang-undang yang betul:

1) Isteri boleh memohon fasakh atas alasan suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain yang tidak berkelakuan baik menurut hukum syarak.

2) Bawa gambar suami dengan pasangannya sebagai bukti dalam permohonan fasakh.

Kesimpulannya, isteri yang ingin menuntut cerai sebaiknya mendapatkan nasihat atau pandangan daripada peguam syarie sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

BACA:Ini latarbelakang lelaki yang ketawa terbahak-bahak sebelah Gus Miftah