Ramai memandang rendah kerja membersihkan rumah, sedangkan ia memberikan pulangan yang besar dengan tenaga dikeluarkan.
Memang benar, membersihkan rumah mengambil masa dan tenaga apatah lagi mahu memastikan seluruh kediaman bersih.
Tapi jika sudah minat, tenaga keluar pun tak kisah asalkan bayaran diterima adalah berbaloi.
Menurut portal berita Tribun Trends Seorang wanita lulusan sekolah menengah dari Ponorogo, Pulau Jawa memilih bekerja sebagai pekerja pembersih rumah di Amerika Syarikat (AS).
Tidak hanya itu pendapatan sebulan wanita tersebut adalah mencecah 100 juta rupiah (RM29,511).
Wanita dikenali sebagai Tatik Wuryanti itu melakukan pekerjaan tersebut dari rumah ke rumah dan bekerja di AS selama lebih 10 tahun.
Disebabkan sudah lama dan prestasi kerja yang baik, Tatik kini mempunyai 14 pelanggan tetap, malah mampu membersihkan dua hingga tiga buah rumah dalam masa sehari.
Tatik menghabiskan masa selama 5 hingga 6 jam sehari untuk membersihkan rumah yang besar, sementara bagi kediaman kecil, dia mengambil sekitar 4 jam untuk melakukan kerja itu.
“Bekerja keras. Insyaallah hasilnya memuaskan, tetapi letih,” katanya.
Disebabkan pelanggannya ramai, wanita itu pernah bekerja selama tujuh hari dalam seminggu.
Baca juga: “Dah lima tahun tak nampak’- Jabatan Perikanan akui penyu belimbing kini diancam kepupusan