Gadis ini lahir di Malaysia tapi tiada IC? Tapi berjaya masuk Universiti awam, ini kisahnya,
Pelbagai onak terpaksa ditempuhi seorang gadis gara-gara tidak mempunyai dokumen sah sebelum akhirnya memperolehi MyKad tahun lalu pada usianya 23 tahun.
Alma Nur Fajrina Abdul Razak, 24, berkata, selain stigma pandangan serong masyarakat,
ketiadaan dokumen terpenting untuk seseorang warganegara Malaysia itu menyebabkan dia keciciran sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Dahulu saya adik-beradik tiada dokumen kerana masalah keluarga yang saya tidak boleh kongsikan dengan lebih terperinci, maaf.
“Apa yang boleh saya katakan, sebab ayah saya warganegara Malaysia (Pahang), manakala ibu saya warganegara Indonesia,” katanya ketika ditemui di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit, di sini.
Namun dengan minat amat mendalam untuk menuntut ilmu ditambah dengan tanggungjawab dilunaskan ibunya, wanita yang mesra dengan panggilan Fajrina ini berkata, dia belajar sendiri di rumah.
“Alhamdulillah saya ada ibu yang baik dan pandai asuh kami adik-beradik. Masa kecil, kami belajar di rumah sahaja.
“Ibu ajar kami adik-beradik membaca akhbar, majalah dan kadang-kadang ibu beli buku kanak-kanak.
“Kami adik-beradik juga suka tengok televisyen. Jadi apabila tak tahu sesuatu kami bertanya ibu atau cari jawapan melalui media-media itu,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Menurutnya, dia hanya mula bersekolah secara formal pada usia 18 tahun iaitu pada 2017 di SBJK selama setahun dan pada tahun sama mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan baik.
Kemudian pada 2018, dengan bantuan pihak SBJK, Fajrina berkata, dia melanjutkan pelajaran di Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya, Cheras dan turut cemerlang memperolehi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Alhamdulillah, kini saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM), berada di tahun ketiga, semester kelima dalam jurusan Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif.
“Insya-Allah, saya bakal menghabiskan ijazah sarjana muda yang berbaki satu tahun setengah lagi. Ia bagai impian menjadi kenyataan apabila dapat masuk belajar di universiti, sebab tidak pernah bersekolah sebelum masuk ke SBJK.
“Jika diizinkan oleh-Nya, saya ingin bergraduasi dengan cemerlang dan jika ada rezeki, moga-moga memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) atas 3.70 kerana saya ingin tamat dengan kelas pertama Insya-Allah… amin,” katanya.
Dalam nada sebak katanya, cabaran dan dugaan ditempuhinya dengan semangat kental walaupun orang sekeliling agak berbeza kerana dia tiada dokumen pengenalan.
Mengenai kehidupan di universiti, Fajrina mengakui perjalanannya menuntut ilmu agak sukar dan agak mencabar terutama seorang diri merantau.
“Banyak perkara yang saya tidak tahu dan saya harus belajar dan adaptasi. Untuk yang senasib, saya sarankan supaya jangan menganggap kita tidak mempunyai masa depan.
“Apapun saya sangat menghargai bantuan semua khususnya pihak SBJK yang bantu untuk saya belajar di universiti walaupun saya tanpa dokumen.
“Terutamanya atas jasa baik seorang guru yang sangat baik dan berkomited, Cikgu Nurul Fazhida. Beliau juga yang banyak menghabiskan masa membantu turun naik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses mendapatkan dokumen MyKad yang akhirnya saya perolehi tahun lalu,” katanya.
BACA: Kenapa sungai Tigris dan Furat semakin kering? Sekali muncul pula bandar purba, ini punca sebenar