Fasha Sandha dan Nora Danish akhirnya tamatkan sengketa lepas jumpa ‘the right man’ jadi punca

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Selebriti juga manusia biasa yang ada masanya bergaduh hingga wujud perang dingin namun selepas kemelut semakin reda maka berdamailah mereka.

Sebelum ini pelakon Nora Danish dan Fasha Sandha mempunyai hubungan dingin apabila Fasha dituduh menjadi punca keretakan rumah tangga antara Nora dan bekas suami, Jejai.

Bagaimanapun Fasha dan Jejai juga akhirnya memilih bercerai selepas empat tahun berumah tangga.

Fasha Sandha dan Nora Danish akhirnya tamatkan sengketa lepas jumpa ‘the right man’ jadi punca

Menurut Fasha, dia dan Nora sudah melupakan sengketa lama selepas masing-masing dipertemukan dengan lelaki yang tepat lapor Kosmo! Online.

“Apa yang pernah berlaku antara kami dahulu, tidak lagi penting. Kami pun sudah semakin dewasa dan punya anak-anak.

“Anak kami adalah adik-beradik. Jadi kami semua adalah satu keluarga.

“Kami juga bersyukur, kerana pengalaman itulah, masing-masing sudah berjumpa dengan lelaki yang tepat,” ujar Fasha seperti dipetik Kosmo! Online.

Saling ‘follow’ di Instagram

Mengimbau kembali, Fasha berkongsi Nora mengikuti akaun Instagramnya terlebih dahulu sebelum mereka memilih untuk berbaik.

“Nora ‘follow’ saya dalam Instagram. Saya jadi terfikir sama ada nak ikut dia balik atau tidak. Selama dua minggu juga saya fikir.

“Tapi saya nampak keikhlasan dan kebaikan hati Nora. Kami ada berkomunikasi dalam Instagram, sebelum menjadi rapat dan berbaik semula secara semula jadi,” tambahnya.

Sekarang lebih matang

Buat pihak Nora pula, dia menerima segala yang berlaku sudah ditentukan Allah SWT dan sudah matang dalam membuat keputusan.

“Pada saya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah adalah sebaik-baik perancangan. Sekarang kami saling menyayangi.

“Sebenarnya kami sudah lama berbaik semula. Apa yang berlaku pada kami dahulu, adalah ketika masing-masing masih mentah dan darah sedang panas,” ujar Nora.

Baca juga: Boleh ganggu keseimbangan bumi, ini yang bakal terjadi pada bumi jika tahun lompat tak wujud?