Exco Pahang jawab dakwaan kadar sewaan kedai di Cameron dari RM500 jadi RM7500

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Kerajaan Pahang hari ini mengesahkan telah menerima aduan daripada peniaga di Medan Agro,

Dekat Cameron Highlands, yang mendakwa sewa premis kedai mereka dinaikkan antara RM5,000 hingga RM7,500.

Aduan tersebut diterima minggu lalu dan disahkan oleh Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.

Sim menyatakan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan yang dibuat oleh kumpulan peniaga tersebut.

“Memang saya telah menerima aduan minggu lepas mengenai kadar sewa yang naik dari RM500 kepada RM5,000.

Exco Pahang jawab dakwaan kadar sewaan kedai di Cameron dari RM500 jadi RM7500

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami sedang menyiasat sebab-sebab di sebalik situasi ini.

“Kami akan memaklumkan hasil siasatan setelah ia selesai… mungkin dalam masa dua minggu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024 di Kuantan hari ini.

Ekspo itu dirasmikan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, yang bertindak sebagai wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Kelmarin, tular sebuah video di platform TikTok yang menunjukkan seorang wakil NGO mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) Cameron Highlands menaikkan kadar sewa terlalu tinggi seolah-olah menindas peniaga tempatan.

Dakwa lelaki itu, kadar sewa asal RM500 dinaikkan hingga mencecah RM7,500, yang dilihat seolah-olah mahu menutup periuk nasi peniaga tempatan dan membuka ruang kepada warga asing untuk mengambil alih gerai di situ.

Sementara itu, Leong ketika diminta mengulas mengenai isu yang sama berkata, kenaikan kadar sewa dan kemungkinan harga jualan produk di Medan Agro Cameron Highlands diharapkan tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi tersebut.

“Harga di tempat pelancongan memang dipantau secara berterusan… kami mempunyai exco (Sim) yang berperanan aktif untuk membuat semakan dan pemeriksaan setiap minggu.

“Jika kami menerima aduan mengenai kenaikan harga, kami berharap tindakan akan diambil dan pada masa yang sama kami juga berharap peniaga dapat bekerjasama dengan kami,” katanya.

BACA: ‘Elok-elok jadi umat Nabi nak tukar jadi umat makhluk terlaknat’ Perkongsian adik Fattah Amin curi perhatian netizen