Keputusan platform media sosial X yang secara rasmi membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah telah menimbulkan bantahan ramai.
Selepas kekecohan mengenai perubahan dasar X itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan pendirian bahawa ia bertentangan dengan undang-undang Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan menyuarakan pandangan tegas mengenai dasar negara kepada penyedia platform media sosial yang dimiliki oleh Elon Musk itu.
“Insya-Allah, kita akan panjangkan pandangan tegas kerajaan dan dasar negara kita kepada pihak X,”
katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, menambah bahawa pendirian kerajaan berhubung perkara itu bukan sahaja untuk platform X, malah turut merangkumi laman sosial lain.
“Saya percaya Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, akan
sampaikan untuk memastikan semua platform memahami bahawa beberapa perkara termasuk judi dalam talian, bahan lucah dan juga perkara yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang negara kita perlu dipatuhi oleh platform-platform ini, termasuk yang sedang berlaku di X,” katanya lagi.
Menurut laporan Mstar pada hari selasa melaporkan bahawa aplikasi X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, secara rasmi membenarkan penggunanya memuat naik kandungan dewasa.
Perubahan dasar itu membolehkan pekerja seks dan pelakon filem lucah mengenakan bayaran langganan untuk kandungan mereka, sama seperti platform OnlyFans.