Adik Fattah Amin yang dikenali sebagai Raihan telah berkongsi petikan nasihat kepada umum
ketika abangnya itu sedang menghadapi konflik penceraian bersama aktres Nur Fazura baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Raihan di Insta-storynya, petikan nasihat yang dikongsikan
berkaitan hukum ghibah, iaitu apabila seseorang berbicara tentang kehidupan individu lain.
“Bagi yang ada kemampuan untuk halang orang sekeliling kita daripada ghibah (mengumpat), halanglah.
“Ia sungguh, jauh lebih besar dan berat dosanya daripada dosa-dosa orang yang dikata, walaupun benar apa yang dikatakan,” kata petikan itu.
Selain itu, perkongsian tersebut menegaskan bahawa umat Islam perlu menghindari perbuatan yang tidak memberi manfaat serta tidak disukai oleh Nabi Muhammad, seperti mengambil tahu mengenai hal rumah tangga orang lain.
Raihan turut mengingatkan agar setiap Muslim menjaga lidah dan tangan daripada melakukan perkara yang sia-sia serta tidak berbangga mengeji sesama saudara.
“Kita kan umat Nabi, jom buat apa Nabi suka dan tinggal apa yang Nabi larang.
“Nabi sayang umat yang tidak ambil tahu hal rumah tangga orang, tak ambil tahu hal orang-orang yang tidak ada kena mengena dengan dirinya. Sebab benda ini Nabi pesan dalam hadith 40, kita dengar cakap Nabi okay.
“Kita sepatutnya orang Islam lain selamat daripada lidah dan tangan kita. Janganlah bangga pandai mengecam orang, Nabi sedih, Nabi tak suka.
“Nabi tak suka, yang suka syaitan. Takkanlah elok-elok jadi umat Nabi, nak tukar jadi umat makhluk terlaknat kan. Jom doakan yang baik-baik, banyak selawat, banyak istighfar,” tulisnya.
BACA: ‘Tindakan sudah diambil, tiada toleransi di Johor’ – Pemangku Sultan Johor