Ekonomi negara hanya stabil untuk anggota jemaah Menteri – Kadir

Ekonomi negara hanya stabil untuk anggota jemaah Menteri – Kadir

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin membidas dakwaan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa ekonomi negara kononnya baik-baik sahaja.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Berhad itu secara sinis berkata, ekonomi hanya untuk sebahagian kecil penduduk seperti anggota Jemaah Menteri dan orang kaya yang stabil.

“Apa tidaknya, busuk-busuk pun gaji dan elaun Menteri RM50,000 ke atas sebulan dan Perdana Menteri hampir RM105,000.

“Tapi ekonomi yang dulu okey bagi kelas menengah M40 sudah tidak berapa okey lagi. Golongan terkebawah, B40 memang dari awal lagi tersepit,” katanya.

Beliau menegaskan banyak petunjuk menggambarkan ekonomi negara adalah tidak baik.

“Bukan sahaja pelaburan terus asing (FDI) bagi tahun 2020 merudum 68 peratus, pelaburan asing di Bursa Malaysia pun jatuh juga terutama selepas perisytiharan darurat pada 12 Januari lalu.

“Indeks komposit Bursa Malaysia (KLCI) yang jatuh 3.7 peratus dalam bulan Januari merupakan kejatuhan kedua paling teruk dalam kalangan indeks utama dunia selepas Filipina yang jatuh 7.4 peratus,” jelasnya.

Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri berkata, ekonomi jangka panjang negara pun membimbangkan.

Menurutnya, Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Thailand dan Indonesia dari segi saiz ekonomi mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar pada 1998.

Walau bagaimanapun, ekonomi negara merudum ke tempat keenam pada tahun lalu ditinggalkan Vietnam, Filipina dan Singapura.

Sehubungan itu, Kadir berpendapat Malaysia tidak mustahil menjadi negara gagal (failed state) jika pemerintahan yang tidak demokratik masih kekal.

Begitu juga, katanya, dasar ekonomi yang kurang daya saingan dan sikap sambil lewa rakyat jelata wajib ditukar segera jika Malaysia mahu kembali berlumba dengan negara-negara jiran.

” Jika tidak, bersedialah untuk menjadi negara gagal,” tegasnya kagi.