Wanita Melayu pertama yang menjadi juruterbang komersil di Singapura, Farhain Abu Bakar, dinaikkan pangkat menjadi Kapten bagi syarikat penerbangan Scoot.
Berita membanggakan mengenai Kapten berusia 36 tahun itu dikongsikan saudara perempuannya
Emilia Abu Bakar dengan ucapan tahniah kepadanya minggu lalu di laman Instagram.
Meskipun tidak memberi butiran terperinci mengenai kenaikan pangkat Kapten Farhain, empat jalur emas pada bahunya jelas menunjukkan pangkat Kapten yang dipegang beliau.
Pencapaian Kapten Farhain lebih memberangsangkan memandangkan sektor penerbangan biasanya didominasi juruterbang lelaki.
Juruterbang wanita membentuk hanya kurang satu peratus daripada semua juruterbang syarikat penerbangan Singapura.
Ini bukan kali pertama Cik Farhain menjadi sorotan dek pencapaiannya dalam sektor penerbangan.
Pada usia 29 tahun tujuh tahun lalu, Cik Farhain ditampilkan dalam akhbar tempatan The Straits Times sebagai juruterbang komersil wanita Melayu pertama di Singapura.
Menurut laporan itu, beliau menerima lesen juruterbang privet dari Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC) pada 2004 semasa menuntut di Politeknik Singapura.
Beliau kemudian menyertai Kolej Penerbangan Singapura tiga tahun kemudian dan mendapatkan lesen juruterbang komersil serta pensijilan jurulatih pada 2008 dan 2010.
The Straits Times sebelum ini juga melaporkan Cik Farhain menghabiskan 5.5 tahun sebagai jurulatih sebelum menyertai Scoot.