Duit Tabung Harapan diurus kerajaan PH dengan baik – Timb Menteri

Duit Tabung Harapan diurus kerajaan PH dengan baik – Timb Menteri

TImbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri memaklumkan bahawa dana akaun Tabung Harapan telah dibelanjakan mengikut tatacara yang termaktub iaitu untuk membayar hutang kerajan persekutuan.

Katanya, akaun tabung tersebut juga telah diurus tadbir oleh jawatankuasa akaun secara amanah.

“Akaun Tabung Harapan telah ditadbir oleh jawatankuasa akaun secara amanah.

“Pengunaan dana dalam akaun tersebut mengikut tatacara yang termaktub dalam arahan untuk bayar hutang kerajaan persekutuan dan pembayaran yang perlu digunakan untuk tujuan akaun itu sahaja,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Abdul Rahim (Bersatu – Kudat) juga menjelaskan penerimaaan sumbangan terakhir yang direkodkan pada 14 Januari 2019 berjumlah lebih RM202 juta.

Katanya, sehingga 1 Disember 2019, dana Tabung Harapan, termasuk semua faedah berjumlah lebih RM 205 juta telah digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1MDB.

Abdul Rahim berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) yang mempersoalkan status terkini Tabung Harapan dan ke mana wang tersebut disalurkan.

Tabung Harapan dilancarkan oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, pada 30 Mei 2018.

Tabung berkenaan telah dijadikan satu wadah untuk rakyat membantu negara dan menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.

Penubuhan tabung tersebut dilakukan setelah melihat kesediaan rakyat untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang negara yang didakwa berjumlah lebih RM1 trilion.

Sementara itu, Abdul Rahim turut berkata segala rekod penyumbang dalam Tabung Harapan yang diterima melalui akaun Maybank tidak dapat didedahkan.

Katanya lagi, ini selaras dengan peruntukan undang-undang kerajaan di bawah akta perlindungan data peribadi 2020.

Bagaimanapun, semua penyumbang kepada akaun terbabit boleh memohon untuk pengecualian cukai.

“Mereka (penyumbang) boleh mohon untuk pengecualian cukai dan mereka yang mohon terpulang dengan syarikat sendiri,” katanya yang menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk mendedahkan penderma yang menyumbang kepada akaun tersebut.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540091

COMMENTS