“Duit simpanan isteri licin mentua dan ipar kerjakan, akhirnya aku atur rancangan keluar dari keluarga ini”

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Seorang lelaki tidak menyangka bakal dihalau keluar oleh keluarga mentua hanya kerana gagal membayar bil utiliti rumah banglo 10 bilik selepas hilang pekerjaan.

Hatinya luluh apabila sang isteri yang dinikahinya sanggup mengabaikan larangan keluarga sendiri

Dan dengan rela hati mengikutnya keluar daripada kediaman milik mentuanya itu.

Bukannya hidup melarat, sang isteri malah terperanjat apabila dibawa pindah ke sebuah kediaman serba lengkap yang telah dibeli lebih awal oleh suaminya secara ‘diam-diam’.

“Ayah aku bekerja sebagai polis di cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM). Manakala ibu aku suri rumah.

“Duit simpanan isteri licin mentua dan ipar kerjakan, akhirnya aku atur rancangan keluar dari keluarga ini”

Semenjak kecil lagi aku dah diajar oleh ayah untuk berdikari. Sejak umur 10 tahun, aku mula mengikut katering ibu saudara setiap Sabtu dan Ahad untuk dapatkan duit.

Sehari RM40, bekerja dari pukul 7 pagi hingga 8 malam.

“Bayangkan umur aku 10 tahun, ayah sudah menyuruh aku beli baju sekolah sendiri, kasut, beg sekolah.

Setiap hujung tahun aku gunakan duit simpanan untuk membeli baju sekolah, beg, kasut dan pelbagai barang keperluan sekolah. Aku tidak menggunakan sesen pun duit ayah aku untuk itu.

“Yuran sekolah pun aku bayar guna duit hasil titik peluh aku. Semua ini berlanjutan sehingga aku tamat SPM. Alhamdulillah aku lulus dengan cemerlang. Aku dapat tawaran ke Universiti tempatan tetapi terpaksa tolak untuk memberi laluan kepada adik-adik. Aku enam orang adik-beradik. Aku yang sulung sekali.

“Aku mengambil keputusan untuk sambung STPM. Para pembaca jangan salah faham dengan keadaan ayah aku. Ayah aku terpaksa hidup susah kerana menanggung ibu dan bapa mertuanya. Ayah aku terpaksa buat pinjaman rumah, kereta untuk mereka atas namanya tetapi bayaran tidak mampu jelaskan.

“Akhirnya ayah aku terpaksa tanggung kerana tidak mahu namanya disenarai hitam. Masa STPM, aku tetap mencari duit sendiri. Selepas balik sekolah, aku bergegas ke kiosk telefon bimbit di Giant berhampiran rumah. Aku bekerja separuh masa di situ sebagai jurujual telefon bimbit dan pelan prabayar.

“Aku tidak ditawarkan gaji asas tetapi hanya dibayar komisen atas setiap telefon bimbit yang dijual. Alhamdulillah rezeki aku mampu meraih RM1,000 sebulan dengan bekerja separuh masa. Jumlah yang cukup besar bagi pelajar. Peperiksaan STPM aku juga cemerlang dengan pointer 3.78 ketika itu.

“Aku mendapat tawaran dan biasiswa untuk belajar di Universiti Malaya dalam bidang undang-undang yang aku minati. Di universiti juga aku teruskan kerja separuh masa dengan mengiklankan telefon menerusi Facebook. Habis graduasi, aku bekerja sepenuh masa di kiosk itu sementara mencari pekerjaan lain.

“Sebulan bekerja aku mampu meraih pendapatan bersih sehingga RM7,000 sebulan. Ketika bekerjalah, aku terjumpa dengan isteri. Dia datang membeli telefon secara ansuran dan kami berkenalan mula sehingga ke jinjang pelamin. Alhamdulillah, hasil dari gaji aku mampu membayar penuh duit hantaran yang diminta oleh bapa mentua.

“Tak lama selepas berkahwin, aku dapat tawaran PDRM. Aku lulus semua ujian fizikal dan masuk ke PULAPOL. Semasa ujian fizikal, aku didatangi oleh kawan baik ayah yang meminta aku merahsiakan pemergian ke PULAPOL dari keluarga. Pak cik itu hanya memberitahu cuma dia dan ayah aku sahaja tahu perkara itu.

“Ketika awal berkahwin aku tidak mempunyai rumah dan duduk menumpang dengan mentua. Sehingga sekarang isteri masih tak tahu pekerjaan sebenar aku. Apabila tamat latihan dan mula bekerja, aku selalu pulang ke rumah. Mentua mula meminta aku dan isteri untuk membayar sepenuhnya bil-bil utiliti rumah.

“Isteri aku mempunyai enam adik-beradik. Lima daripadanya sudah berkahwin dan semuanya duduk bersama di dalam rumah itu. Aku sudah banyak kali menyatakan hasrat untuk duduk sendiri kerana sudah mampu membeli rumah. Tetapi keluarga mentua tidak membenarkan dan meminta isteri aku duduk sekali dengan mereka.

“Rumah mereka adalah banglo 10 bilik di kampung. Ayahnya dapat pampasan insuran akibat cacat kekal kemalangan ketika kerja. Lantas mereka membina rumah di tanah pusaka. Apabila isteri tidak mahu berpindah keluar, aku hanya menurut sahaja. Tetapi kesemua bil utiliti aku dan isteri tanggung.

“Bil api sahaja sebulan hampir RM1,000. Ini kerana semua bilik ada aircond hasil sumbangan isteri kerana banyak kali diminta oleh ibunya. Ipar pula hanya mengambil kesempatan dan langsung tidak membantu. Makan seharian pun 100% ditanggung oleh mertua. Bayangkan 9 cucu, 10 orang punya perut untuk ditanggung seharian.

“Jadi duit pencen mentua habis digunakan ke arah itu. Ibu mentua mengharapkan RM1,000 duit bulanan yang isteriku beri kepadanya. Isteri pula terpaksa berhenti kerja kerana perlu menguruskan rawatan kencing manis ayah mentua. Aku langsung tidak terbeban dan aku ikhlas membantu meringankan beban mereka.

“Nafkah isteri juga aku mampu tunaikan sama nilai dengan gaji yang diterimanya ketika bekerja. Hal ini diketahui oleh mentua. Sedikit demi sedikit, simpanan isteri digunakan untuk perkara tidak masuk akal seperti melangsaikan hutang belajar ipar, keperluan susu lampin anak ipar aku. Pada mulanya isteri tidak memberitahu apa-apa.

“Isteri mula bercerita apabila simpanannya habis setelah ibu mentua meminta untuk membelikan motorsikal untuk adik ipar aku keluar bekerja. Aku tidak puas hati dan meminta penyata bank isteri. Memang semuanya telah dihabiskan dengan jayanya. Termasuk duit simpanan tabung haji yang aku berikan kepadanya setelah berkahwin.

“Esoknya aku meminta pendapat dari ayah. Lantas ayah memberikan idea yang mengheret aku keluar dari jalan yang sama seperti pernah dihadapi olehnya. Aku mula mempraktikkan langkah pertama. Oleh kerana isteri fikir aku masih bekerja di kedai telefon itu, maka strategi itu dapat berjalan lancar.

“Aku memberitahu isteri bahawa aku telah diberhentikan kerja. Reaksinya sedih dan mulai risau tentang bil-bil yang hendak ditanggung. Setelah mertua tahu aku tidak bekerja, layanan mereka terhadap aku mulai berubah. Bil-bil utiliti bulan seterusnya aku sengaja bayar lambat atas pelbagai alasan.

“Aku memberitahu isteri aku bekerja sebagai penghantar makanan buat sementara waktu untuk membayar bil. Aku tidak serahkan duit nafkah bulanan kepada isteri. Tetapi aku tetap simpan dalam akaun tabung haji. Pesan ayah aku tetap ingat, nafkah jangan diabaikan.

“Kadang-kadang, jika terlibat dengan operasi PDRM di luar kawasan, aku langsung tidak balik ke rumah mentua atas alasan mencari order di tempat baharu. Apabila berada dirumah, aku diperli oleh ipar-ipar aku. Mentua akan cakap, ‘Kenapa duduk berehat dirumah, nanti bil-bil siapa nak bayar. Takkan nak duduk percuma sahaja’.

“Sampailah ke kemuncak selepas sembilan bulan aku ‘kehilangan kerja’, isteri mengadu bahawa mentua mendesaknya menuntut cerai kerana tidak mahu menantu biawak hidup. Sepanjang aku menjalankan rancangan, isteri sangat sabar dengan dugaan menimpa. Dia tetap memberi kata-kata semangat pada aku.

“Satu malam apabila aku pulang, ayah dan ibu mentua meminta aku keluar rumah. Mereka mengatakan bahawa bil semua telah dijelaskan dengan menggadai rantai kahwin isteri. Dalam hati memang aku tak sangka percaturan ayah memang tepat.
Paling aku terharu isteri sanggup mengikut bersama untuk keluar dari situ.

“Kereta milik isteri terpaksa diserahkan kepada ibunya kerana mahu mengikuti aku. Setelah kami keluar, aku terus membawa isteri ke rumah yang telah dibeli dalam diam. Semua kelengkapan rumah telah disiapkan sepanjang tempoh sembilan bulan permainan aku untuk membawa isteri keluar dari rumah.

“Aku berterus terang dengan isteri yang kehilangan pekerjaan itu cuma permainan untuk membawanya keluar dari rumah kerana tidak mahu dia diambil kesempatan. Alhamdulillah isteri aku menerimanya. Sehingga sekarang, mentua masih ingat aku terumbang-ambing dalam kehidupan. Mereka masih tidak boleh menerima isteri aku.

“Isteri mula menerima keluarga aku yang pada mulanya dia tidak begitu rapat. Hal kehidupan kami semuanya dirahsiakan dari pengetahuan keluarganya. Alhamdulillah kehidupan kami bertambah baik. Isteri telah bekerja di firma audit yang sejak dari dahulu dia impikan tetapi dilupakan kerana tidak ingin jauh dari keluarga.

“Untuk pembaca yang mengalami masalah yang sama, tidak salah untuk jadi baik. Tetapi hendaklah kena pada caranya. Ramai mentua yang suka ambil kesempatan atas menantunya yang bergaji besar. Aku tidak mahu mengajar untuk mengikut cara ini, tetapi tolong fikirkan. Tiada orang yang ikhlas apabila diambil kesempatan.

“Tambah pula seperti aku, kena memelihara biawak hidup. Manusia ini jika berduit disanjung. Tetapi bila tiada apa, akan dibuang seperti sampah.

Aku berjaya keluar dari masalah itu. Keluarga mentua langsung tidak mengharapkan apa-apa dari aku dan isteri. Kami adalah orang terakhir untuk meminta bantuan jika mereka susah.

“Buat isteri aku jika terbaca kisah ini, terima kasih abang ucapkan dekat Ina. Sebab sanggup terima abang saat abang ‘susah’ dulu. Tetap yakin dengan abang dan ikut abang.”

Tulis lelaki berkenaan menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum popular atas talian.

Baca juga: Apakah yang berlaku dalam badan seseorang jika mengambil pil kuda?