Dua rakyat Malaysia yang sebelum ini dipenjarakan di Guantanamo Bay atas kesalahan berkaitan keganasan kini telah kembali ke tanah air dan akan menjalani program reintegrasi yang komprehensif.
Menurut laporan The Straits Times, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, yang ditahan di kem tahanan terkenal di Cuba sejak tahun 2006,
Dan telah kembali ke Malaysia dengan pengesahan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kerajaan telah merangka program reintegrasi yang komprehensif untuk kedua-dua individu ini, yang melibatkan perkhidmatan sokongan, kebajikan, dan saringan perubatan,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam proses penyerahan yang berjaya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa kedua-dua mereka menunjukkan tingkah laku yang positif dan bersedia untuk dinilai serta menjalani proses pemulihan.
“Mereka juga menunjukkan komitmen yang kuat untuk menjadi anggota masyarakat yang progresif. Setiap individu berhak mendapat peluang kedua, dan kami akan memastikan mereka menerima peluang itu,” tambahnya.
Razarudin juga memaklumkan bahawa Mohammed Farik dan Mohammed Nazir berada dalam keadaan sihat dan bersyukur dapat kembali ke tanah air serta keluarga mereka.
Beliau berkata, polis menerima kedua-dua mereka semalam selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mengaku bersalah awal tahun ini atas serangan bom Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 nyawa.
Mereka sebelumnya ditahan bertahun-tahun di rangkaian tahanan rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat selepas ditangkap di Thailand.
Pada tahun 2006, mereka dipindahkan ke penjara Guantanamo Bay untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah keselamatan khas yang ditubuhkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, selepas serangan 11 September 2001.
Pada tahun 2018, mereka didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan dengan pengeboman kelab malam Bali pada 2002 dan serangan bom hotel pada 2003 yang mengorbankan 11 orang.
Dalam perjanjian pengakuan bersalah mereka, kedua-dua individu ini bersetuju untuk memberikan keterangan terhadap Encep Nurjaman, atau lebih dikenali sebagai Hambali, bekas pemimpin pergerakan Jemaah Islamiyah.
Hambali juga ditahan bersama mereka.
BACA: Berpantang maut sebelum ajal, wanita masih hidup dengan bantuan buah pinggang babi