Dr Mariah seru semua pihak berganding bahu promosi program vaksinisasi

Dr Mariah seru semua pihak berganding bahu promosi program vaksinisasi

Peranan ahli majlis serta Adun dalam penyebaran maklumat dan memudahkan pendaftaran program vaksinasi di kawasan luar bandar adalah penting.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud.

“Kita perlu pergi ke kawasan yang kurang capaian internet dan melakukan pendaftaran secara manual.

“Ini kemudian boleh dimuat naik ke pangkalan data umum untuk memastikan semua orang dilindungi,” katanya seperti dipetik TheStar.

Tambahnya lagi, mereka yang memiliki telefon pintar boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan seterusnya akan menerima nombor pengenalan.

“Ia akan digunakan untuk memberikan informasi terperinci kepada penerima vaksin.

“Pendatang asing tanpa izin (PATI) juga boleh mendaftar melalui aplikasi ini dan ia adalah cara untuk mereka menerima vaksin tanpa melihat status mereka,” jelas Dr Siti Mariah.

Beliau berkata, PATI tidak boleh ditinggalkan dalam program vaksinasi ini bagi memastikan kejayaan program imunisasi ini.

“Melindungi mereka bermaksud melindungi kita,” katanya.

Dr. Siti Mariah juga menjelaskan, usaha untuk mempromosikan program vaksinasi itu perlu dilakukan melalui kempen di media massa, media sosial dan penyebaran risalah yang menjelaskan kepentingan vaksin kepada orang ramai.

“Mesej juga perlu disampaikan melalui khutbah di masjid dan majlis-majlis agama untuk menerangkan isu-isu yang dianggap sensitif,” jelasnya.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga senada dan berkata, pendaftaran vaksin mesti dilakukan secara holistik dan PATI tidak boleh dipinggirkan dalam program vaksinasi ini.

“Saya bukanlah penyokong pendatang haram kerana mereka telah melanggar undang-undang, tetapi kita perlu melihat gambaran yang lebih besar dalam berdepan pandemik ini, mengimunisasi mereka bermaksud melindungi warganegara kita,” jelas Dr. Dzulkefly.

Tambahnya lagi, dengan memastikan setiap orang mendapat vaksin tanpa mengira status, ia akan membantu pengurangan penularan wabak tersebut.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/semua-pihak-perlu-kerjasama-promosi-program-vaksinasi/