Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor satu pilihan yang baik – Ilham Centre

Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor satu pilihan yang baik – Ilham Centre

Pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan kembali mengambil alih tampuk kerajaan, hanyalah sekadar satu strategi jangka pendek untuk gabungan politik itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, Pakatan Harapan harus mengambil kira bahawa populariti bekas perdana menteri itu kian merosot dalam kalangan rakyat.

Mohamad Hisomuddin berkata, sekiranya Pakatan Harapan masih berpegang kepada formula yang sama, maka mereka akan menghadapi masalah sekiranya berlaku pilihan raya umum dalam masa terdekat ini.

“Persoalan untuk menghadapi PRU15, saya rasa, mempunyai angkubah yang berbeza, yang mana mungkin pada pengamatan kami di lapangan dalam tempoh sekarang ini ialah kemerosotan populariti Tun Dr Mahathir.

“Pada PRU yang lepas, kita mengakui dengan kehadiran beliau dan juga apa yang dikatakan kombinasi Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berjaya mewujudkan lonjakan pengundi Melayu kepada gabungan itu.

“Tetapi dalam menghadapi PRU15, bagi saya Pakatan Harapan Plus perlu mencari formula yang lain dan naratif yang lain untuk mereka menghadapi apa yang dikatakan mengukuhkan sokongan mereka di kawasan luar bandar dan bercampur, tetapi mengambil angka yang signifikan untuk mengekalkan kuasa,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Parti Keadilan Rakyat mengambil pendekatan mereka tidak akan lagi menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, sebaliknya bertegas Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu paling layak untuk jawatan itu.

DAP dan Amanah tidak senada dengan PKR

Bagaimanapun, rakan komponen Parti Keadilan Rakyat, DAP dan parti Amanah negara tidak senada dengan PKR.

Mengulas lanjut, Mohamad Hisomuddin berkata, Pakatan Harapan perlu merangka formula yang baharu jika ingin mencabar populariti Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, hasil keberkesanan mereka mengawal media dan menangani wabak COVID-19.

“Secara umumnya, sebenarnya bagi saya Pakatan Harapan berada dalam mod bertahan atau defensif, manakala upperhand berada di pihak Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini untuk mereka menyampaikan maklumat dan juga mungkin aspek memenangi hati rakyat dengan polisi dan bantuan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Hisomuddin berpandangan, menamakan Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor dalam kabinet Pakatan Harapan merupakan satu pilihan yang baik.

Beliau berkata, pengalaman Ahli Parlimen Langkawi itu mentadbir negara selama lebih daripada 22 tahun mampu membantu Pakatan Harapan merangka dasar dan polisi yang bersesuaian.

“Idea ini sebenarnya proses transisi kuasa daripada janji Pakatan Harapan dahulu yang mana selepas Tun Dr Mahathir akan menyerahkan kepada Datuk Sri Anwar. Jadi dalam proses mentor itu, yang dikatakan untuk memberikan panduan, dan bagi saya bimbingan yang diperlukan berdasarkan pengalaman yang dimiliki Dr Mahathir untuk menghadapi kerajaan menghadapi situasi pasca pandemik, bagi saya itu adalah kekangan yang cukup hebat.

“Jadi mentor itu adalah mungkin berdasarkan pengalaman itu beliau boleh memberikan pandangan, set dan teori baik untuk diterima pakai Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil alih semula kerajaan,” katanya lagi.

 

SUMBER : http://www.astroawani.com/berita-politik/tun-m-sebagai-pm-bukan-lagi-pilihan-terbaik-untuk-pakatan-harapan-ilham-centre-248377