DJ gembira dengan kenyataan menteri untuk membuka semula kelab-kelab malam

DJ gembira dengan kenyataan menteri untuk membuka semula kelab-kelab malam

DJ tempatan menyambut baik komentar pegawai negeri dan pusat yang bakal membuka semula industri hiburan malam yang terhenti berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Dua daripada mereka memberitahu FMT bahawa mereka bersiap sedia untuk bekerja semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu Dewan Rakyat Selasa lepas bahawa kerajaan “tidak boleh terus-menerus menutup kelab malam sekiranya mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan”.

Seminggu sebelum itu Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata, beliau bersedia “bertemu pemilik perniagaan hiburan dan membincangkan isu pembukaan semula”, walaupun beliau menambah bahawa langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelakkan peningkatan jangkitan wabak Covid-19.

DJ Kuma, yang berpengalaman lebih 20 tahun di peringkat tempatan dan antarabangsa berkata, perkembangan itu merupakan berita baik kepada artis dan juga pemilik.

DJ Kuma berkata, 50% adalah lebih baik daripada tidak ada apa-apa.

“Saya tidak bekerja selama 9 bulan,” katanya. “Ia membosankan dan memberi kesan ke atas kesihatan mental anda.

“Seluruh ekosistem industri ini menempuh kesukaran, daripada pemilik kepada pelayan, cef dan semua orang.”

Persatuan Pub, Kelab Malam dan Bar Lembah Klang antara lain mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan kapasiti kehadiran kepada separuh bagi mengekalkan jarak fizikal antara pengunjung.

Kuma berkata, ia akan memberi kesan ke atas pengalaman yang ditawarkan di premis terbabit, tetapi menambah bahawa paling tidak artis berpeluang bekerja semula.

“Apa-apa sahaja yang membolehkan kami bekerja semula, walaupun dengan sekatan, adalah berita baik,” katanya.

“50% adalah lebih baik daripada tiada apa-apa. Orang ramai mungkin berasa skeptikal pada mulanya, dan ia akan mengambil masa untuk mendapat sambutan semula, namun ia perkembangan yang baik.”

Seorang lagi DJ, Victor Goh bersetuju bahawa sikap terbuka kerajaan merupakan “langkah mula yang memberangsangkan” selain berkata, pengunjung kelab dan artis perlu memberi konsesi bagi memudahkan pembukaan semula premis hiburan.

Victor Goh berkata, orang ramai memerlukan sedikit sebanyak hiburan.

“Ia sesuatu yang kita perlu terima sehingga vaksin ditemui,” katanya.

“Kita harus terima realiti bahawa ia mungkin tidak begitu menyeronokan, namun keadaannya sama dengan acara atau festival lain.

“Tempat-tempat ini merupakan bahagian penting bagi keseimbangan hidup masyarakat. Orang ramai perlukan jalan keluar untuk berehat dan bergembira.”

Beliau berkata, kerajaan boleh mencontohi langkah yang diambil oleh Singapura pada bulan Disember dan Januari depan.

Sepanjang 2 bulan itu akan dijalankan program ujian yang akan meningkatkan pemantauan premis dan menghendaki bakal pengunjung disaring negatif Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebelum mengunjungi kelab malam.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/20/dj-gembira-selepas-pegawai-beri-harapan-kepada-industri-kelab-malam/

COMMENTS