Ketika seorang lelaki berkopiah mula mengagihkan makanan dan minuman kepada petugas media di Apartmen Idaman,
Damansara Damai pada tengah hari Isnin, perhatian netizen segera tertumpu kepadanya.
‘Saya tapau makanan dan teh ais je’
Reaksi warganet mula memanaskan situasi apabila lelaki yang mengenakan kemeja-T hijau itu menjadi tumpuan spekulasi.
Ada yang curiga terhadap motif beliau, malah ada yang mencampur adukkan individu tersebut dengan kes kematian Zayn Rayyan yang berlaku pada 6 Disember tahun lepas.
Walaupun demikian, individu yang dikenali sebagai Azmi memberitahu bahawa dia sebenarnya tinggal di taman perumahan bersebelahan Apartmen Zayn Rayyan.
Azmi menjelaskan bahawa dia datang ke situ dengan tujuan memberi makanan dan minuman kepada pengamal media yang sedang bertugas di lokasi kejadian.
“Korang ni, itu saya. Saya tinggal di perumahan sebelah tu je. Saya tapau makanan dan teh ais je,” katanya.
Pada 10 Jun, ibu Zayn Rayyan telah dibawa ke kediaman di Blok R Apartmen Idaman untuk melakonkan semula aksi kejadian.
Pasangan suami isteri itu kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai.