Diskaun TNB tak bantu B40 yang terkesan dengan bil tinggi

Diskaun TNB tak bantu B40 yang terkesan dengan bil tinggi

Baru-baru ini terdapat banyak rungutan berkenaan isu kenaikan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan melambung tinggi.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman, beliau mendapat banyak laporan bahawa potongan diskaun 50 peratus hanya diberikan kepada pengguna yang menggunakan elektrik sebanyak 200kwh.

Hal itu katanya tidak munasabah kerana melalui pemerhatiannya, tidak ramai yang menggunakan tenaga elektrik pada kadar tersebut.

“Berapa ramai sahaja yang menggunakan 200kwh ini? TNB perlu menyemak semula langkah diskaun yang ditetapkan oleh mereka

“Maklumat yang saya terima, rata-rata pengguna menggunakan sekitar 301 – 600kwh dan mereka ramainya di kalangan golongan B40.

“Golongan ini yang seharusnya TNB perlu berikan perhatian untuk membantu mereka.

“Apakah kerajaan Malaysia sengaja mengura-urakan berkenaan dengan diskaun tersebut sedangkan apa yang kita maklum ianya hanya bersifat memenangkan golongan minoriti pengguna,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, pihak TNB telah mengeluarkan notis diskaun bagi memulihkan keresahan pengguna, namun langkah itu masih tidak meredakan rungutan orang ramai.

Justeru, Taqiuddin yang juga Adun Pulai Sebatang berkata, TNB seharusnya mengambil tindakan lebih menyeluruh ketika memberikan diskaun.

Beliau mendesak agar TNB membuat penilaian semula berhubung diskaun berkenaan serta mengutamakan mereka yang benar-benar terjejas akibat kenaikan bil tersebut.

“Kita desak TNB untuk mengkaji semula serta memberikan diskaun kepada pihak atau pengguna yang terkesan teruk dalam isu kenaikan secara majoriti pengguna bukan minoriti.

“Kerajaan juga dipertanggungjawabkan untuk membantu rakyat serta mendapatkan pelepasan diskaun kepada pengguna teramai yang mana rata-rata di antara mereka adalah golongan B40,” katanya lagi.

Menurut laporan yang dikemukakan, diskaun sebanyak 50 peratus diberikan kepada pengguna yang menggunakan sebanyak 0 – 200kwh, manakala untuk pengguna 201 – 300kwh diskaun diberikan sebanyak 25 peratus, 301 – 600kwh sebanyak 15 peratus dan 600kwh ke atas sebanyak dua peratus.

Berita penuh : https://www.johorkini.my/diskaun-tnb-tak-bantu-golongan-b40/

COMMENTS