Tradisi majlis rumah terbuka telah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri.
Pada masa yang sama, kita juga ingin meraih keberkatan bulan Syawal dengan menyempurnakan puasa sunat selama enam hari.
Sebagaimana yang dihadapi oleh seseorang individu, dia berada dalam dilema sama ada hendak memenuhi jemputan rumah terbuka daripada sahabat baik atau meneruskan puasa putih pada hari ke-15 Syawal.
Untuk pengetahuan, puasa hari putih merupakan amalan sunat yang boleh dilakukan setiap bulan pada hari ke-13, 14, dan 15 dalam kalendar Islam, kecuali pada hari ke-13 Dzulhijjah kerana ia merupakan sebahagian daripada Hari Tasyriq.
Dilema yang dihadapi individu tersebut dijawab oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad, melalui portal Maktabah al-Bakri.
Zulkifli menjelaskan bahawa sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari-hari putih.
Daripada Qatadah bin Milhan RA yang bermaksud:
“Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” – Riwayat Abu Daud (2449)
Rumah terbuka disambut meriah setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri.
Pada asasnya, sekiranya seseorang yang melakukan puasa sunat, kemudian dia berbuka dengan sengaja, maka hukumnya adalah makruh.
Namun, dia tidak diwajibkan untuk mengqada (menggantikan) puasa tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)
Bagaimanapun, terdapat dalil bahawa dibolehkan untuk membatalkan puasa sunat ialah, seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Hani’ R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang berpuasa sunat menjadi penentu dirinya. Jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.” -(Riwayat al-Tarmizi (32))
Bagi menjawab persoalan ditanya, Zulkifli menjelaskan bahawa individu yang berpuasa sunat itu boleh membuka puasa apabila dijemput ke sesuatu majlis jamuan.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A yang bermaksud:
“Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. (Setelah dihidangkan makanan), salah seorang daripada sahabat berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa.
“Lalu Rasulullah SAW bersabda saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu,”
Ramai memilih untuk berpuasa enam di bulan Syawal.
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3/306). Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/238) menilai hadis ini sebagai dha’if. Manakala dalam hadis ini dinilai sebagai hasan dalam kitab Irwa’ al-Ghalil (1952).
Menurut pendapat ulama Syafi’i dan Hanabilah, bagi situasi seseorang yang dijemput ke majlis makan dalam keadaan seseorang itu berpuasa sunat, maka berbukalah sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah.
Hal ini kerana dibenarkan baginya untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain, malah ia juga dapat memberi kegembiraan kepada pihak tuan rumah yang menjemputnya.
Akan tetapi, jika keadaan dia terus berpuasa itu tidak memberatkan tuan rumah, maka afdal baginya untuk meneruskan puasa tersebut tanpa perlu membatalkannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/118)
Justeru, Zulkifli berpandangan bahawa seseorang itu lebih arif akan keadaan dirinya, begitu juga tuan rumah yang menjemputnya sama ada berbuka atau teruskan puasa.
Selain itu, Zulkifli turut mencadangkan supaya mereka menggabungkan puasa dengan menghadiri majlis rumah terbuka iaitu memohon tuan rumah untuk datang waktu berbuka puasa maka kita akan dapat menghimpun dua kebaikan.
BACA: Dapat isteri pramugari, malam pertama aku dah suruh dia berhenti kerja. Selepas 2 tahun kahwin