Seorang wanita asal Kota Belud, Sabah terpaksa berdepan dengan detik cemas apabila direnjat elektrik, dikurung dalam bilik gelap dan dipaksa makan daging babi.
Terpaksa melalui peristiwa hitam, kejadian itu bermula apabila wanita berusia 40 tahun itu menerima satu tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan.
Dengan menjalankan tugas sebagai pegawai khidmat pelanggan, wanita tersebut dijanjikan akan menerima bayaran lebih daripada RM6,500 pada setiap bulan.
Selepas terpedaya, wanita berkenaan malah diseludup ke Myanmar sebelum dipaksa menjadi ejen ‘scammer’ bersama puluhan mangsa lain dipercayai rakyat Malaysia.
Menurut wanita yang pernah bekerja sebagai jurulatih selam itu, dia menerima tawaran kerja di Thailand dengan gaji 50,000 baht (RM6,513.09) pada Ogos tahun lalu.
Mangsa malangnya malah dikurung dan keluarganya juga turut berhabis puluhan ribu ringgit kononnya sebagai tebusan untuk membawanya pulang ke tanah air.
Sekadar ‘janji angin’, mangsa yang dipaksa menjadi scammer itu tidak pernah dibebaskan walaupun wang telah diserahkan kepada pihak sindiket, lapor Buletin TV3.
Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan selepas keluarganya menghubungi pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk meminta bantuan.
“Jika tidak dapat mencapai target maka kami akan didenda. Macam renjatan elektrik, ada yang dipukul yang lain kadang ada yang masuk bilik hitam juga.
“Dari segi makan dan minum tiada masalah cuma yang Muslim terpaksa makan daging babi,” katanya yang berjaya dibawa pulang ke Malaysia memetik Buletin TV3.
Kepulangan mangsa yang pernah dikurung itu ditemani wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali yang menjadi antara individu mengendalikan usaha menyelamatkan mangsa.
Mangsa dipercayai berjaya diselamatkan dengan bantuan rakan strategik pertubuhan MHO di Myanmar termasuk pihak berkuasa negara Thailand.
Turut hadir menunggu kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Rabu (11 Oktober) lalu ialah Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.
Penasihat MHO merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan turut menemani Datuk Hishamuddin di KLIA.
Baca juga:Diugut boikot, Mekdi Malaysia akhirnya dedah siapa pemilik sebenar syarikat ini