Didakwa jadi dalang sindiket pemerdagangan manusia, ini respon bekas Timbalan Menteri

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, menafikan penglibatannya dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Beliau menjelaskan bahawa dakwaan tersebut dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada media picisan di Indonesia.

Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis dan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengenai tuduhan tersebut.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak-pihak yang cuba mengaitkan saya dengan fitnah ini dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi saya.

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin. Alhamdulillah, saya kekal teguh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit

Didakwa jadi dalang sindiket pemerdagangan manusia, ini respon bekas Timbalan Menteri

dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah dengan agama mahupun undang-undang negara,” katanya melalui hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Rabu telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ahli politik bersama suaminya yang didakwa terlibat dalam sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashimaru, mendakwa bahawa berdasarkan video yang tular baru-baru ini, suami ahli politik tersebut juga memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah keselamatan dalam syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah, Dongmei Group.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hari ini mengesahkan bahawa polis telah mengambil keterangan daripada ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan.

BACA: ‘Aku tak kisah dibuang keluarga ke, dihina masyarakat ke, aku tak peduli apa lagi dah, puas hati aku ceraikan dia talak 3’