Siapa sangka, keputusan untuk mencari teman hidup dengan memuat naik aplikasi cari jodoh atas talian telah menghancurkan kehidupan seorang wanita.
Terlalu mengikut hawa nafsu, wanita berusia 35 tahun itu malah disahkan hamil selepas terlanjur dengan lelaki yang baru dikenalinya menerusi aplikasi tersebut.
Berjanji mahu bertanggungjawab, wanita berkenaan merasa dikhianati apabila mengetahui lelaki itu sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Terfikir mahu membongkarkan kecurangan lelaki itu kepada isterinya, berikut perkongsian wanita bernama Marlia yang terpedaya dengan janji manis suami orang.
“Saya perkenalkan diri saya Marlia. Berumur 35 tahun dan status ibu tunggal. Saya telah bercerai selama lima tahun dan anak-anak tinggal dengan bekas suami. Selama lima tahun bercerai, tidak pernah merasa untuk mencari pengganti. Kerana saya rasa saya sudah ada kerjaya, kereta dan rumah.
“Saya juga sudah ada anak-anak walaupun jauh dimata. Sehinggalah terdetik untuk join aplikasi cari jodoh memandangkan usia semakin meningkat dan saya perlukan teman sehidup semati. Memandangkan saya tidak ramai kawan lelaki dan circle yang kecil, maka saya pun mencuba memuat naik aplikasi itu.
“Saya berdoa semoga bertemu jodoh tahun ini dan dipertemukan dengan yang baik. Dalam aplikasi itu, saya kenal dengan seorang lelaki bernama Ariffin, muda dari saya lapan tahun. Kami bersetuju untuk keluar dan dari situ kami mula serasi. Ariffin juga merasakan yang kami sekepala walaupun ada jarak usia.
“Saya dan dia terus berhubung sehinggalah kami mengikut hawa nafsu dan terlanjur. Hasilnya saya mengandung dan mengambil keputusan untuk gugurkan walaupun dia menyatakan hasrat untuk berkahwin. Setelah itu, Ariffin beritahu yang dia perlu berpindah ke rumah keluarganya di Seremban dan berulang kerja di Putrajaya.
“Bermula dari sini kami jarang berjumpa dan Ariffin selalu lambat membalas pesanan Whatsapp dan sering hilang. Saya mula curiga bahawa dia sebenarnya suami orang. Saya sudah banyak kali bertanya sekiranya dia suami orang dan Ariffin menidakkan. Saya pernah bermimpi dia curang. Ariffin cuma mengatakan yang saya overthinking.
“Setiap kali berjumpa, setiap kali itu juga kami terlanjur. Sehinggalah Ariffin kata ini pertemuan terakhir dan dia nak lepaskan saya. Katanya dia sudah menyuarakan hasrat kepada ibunya tentang saya. Tetapi, ibunya menentang hubungan kami. Maka saya terima.
“Sebulan tidak berhubung, tiba-tiba saya merasa tidak selesa dan haid juga terlewat. Maka saya membuat UPT (ujian kehamilan) dan ternyata hasilnya mengandung lagi. Saya terduduk dan tidak tahu nak buat apa. Bila saya Whatsapp dengan Ariffin, dia membalas dan mengaku terkejut. Dia enggan bertanggungjawab.
“Saya kecewa dan marah. Suatu hari Allah nak tunjukkan setelah saya melakukan Solat Taubat, Tahajud dan Solat Hajat. Saya berjaya menemui Facebook Ariffin dan ternyata dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Hancur remuk hati saya kerana ditipu.
“Saya merasakan diri ini sangat jahat kerana melakukan perkara tersebut terhadap isteri dan anaknya. Sungguh saya tidak tahu dia sudah berkahwin. Saya juga tertipu. Saya menghubungi Ariffin dan mengugut untuk memberitahu isterinya tentang hal ini jika dia tidak mahu berbincang dengan saya. Tetapi saya buntu.
“Saya tidak mahu menggugurkan bayi ini. Cukuplah dosa yang selama ini saya lakukan. Ariffin kata dia tak dapat berkahwin senyap-senyap dengan saya kerana dia tidak mahu isterinya tahu. Akhirnya setelah berbincang, maka saya ambil keputusan untuk teruskan kandungan.
“Saya terpaksa korbankan karier 10 tahun dan tidak dapat berjumpa dengan anak-anak dan keluarga. Biar dia teruskan gembira dengan keluarganya. Saya serahkan segala urusan perbuatannya kepada Allah. Cukup sekadar saya pulihkan hati dengan memaafkan dan kembali bertaubat. Dan saya redha.
“Jika saya jahat, pasti saya sudah merebut dia dari isterinya. Kerana dia hancurkan hidup saya. Saya juga tergerak hati untuk memberitahu isterinya, tetapi saya fikirkan anaknya yang memerlukan kasih dan sayang ibu dan bapa. Saya mempunyai bukti kukuh yang boleh meruntuhkan rumah tangganya. Tetapi saya memilih untuk diam.
“Saya tanggung semuanya sendiri. Nanti penyesalannya akan datang kemudian. Kifarah Allah itu ada. Saya mohon pembaca doakan supaya saya kuat bersendirian mengandung sembilan bulan dan semoga Allah mengampuni saya. Jika pembaca ditempat saya, adakah anda akan membongkarkan semua kepada isterinya?,” soalnya.
Perkongsian Marlia (bukan nama sebenar) ini telah dikongsikan menerusi laman luahan di atas talian.