Setiap umat Islam pastinya mengimpikan peluang untuk mencium Hajarul Aswad di Makkah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Namun, ada segelintir individu yang menjadikan ibadah sebagai satu kandungan untuk menarik perhatian ramai.
Baru-baru ini, sebuah video telah tersebar luas di media sosial mengenai seorang pengasas produk kosmetik yang sedang melakukan tawaf dan ingin mencium Hajarul Aswad di Kaabah bersama pasukannya.
Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah apabila pengasas tersebut kelihatan bergaduh dengan jemaah lain yang juga ingin melakukan perkara serupa. Malah, ihramnya terbuka kerana terbabit dalam tolakan antara satu sama lain atas desakan isteri dan pasukannya yang ingin mencium Hajarul Aswad.
Yang menjadi persoalan adalah sama ada video tersebut direkodkan dengan sengaja untuk dijadikan kandungan bagi tatapan orang ramai. Walaupun dia menafikan perkara itu, reaksi yang diterimanya adalah sebaliknya.
Lihat siaran ini di Instagram
Tindakan pengasas itu menerima kritikan pedas daripada netizen tempatan kerana dianggap tidak ikhlas dan hanya mahu menjadikan ibadah sebagai kandungan semata-mata.
Dalam pada itu, ramai yang mendedahkan bahawa tawaf adalah wajib tetapi mencium Hajarul Aswad adalah sunat. Malah, ramai tidak bersetuju dengan tindakan kasarnya terhadap orang sekeliling hanya kerana mahu memberi keutamaan kepada pasukannya yang dibawa.