Datuk Seri Vida nak tengok ‘barang’ dulu, katanya kepada Zamsaham
Datuk Seri Vida menegaskan beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai keadaan pasukan Kelantan terlebih dahulu
sebelum memikirkan tanda harga sesuai bagi mengambil alih kelab itu.
Ia susulan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dilaporkan memberi bayangan bahawa nilai bagi kelab itu melebihi RM5 juta.
Justeru, Vida menjelaskan beliau perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak Zamsaham bagi mendapat maklumat lanjut berkenaan keadaan semasa The Red Warriors (TRW).
Usahawan kosmetik itu berkata, setakat ini Norizam masih belum menghubunginya bagi menetapkan tarikh perjumpaan dan membincangkan soal pengambilalihan kelab itu.
“Kita tengok macam mana keadaan ‘barang’ (pasukan) yang boleh ditawarkan kepada kita, selepas itu barulah kita boleh bincang mengenai harga. Bila jumpa (dengan Zamsaham) kita bawa peguam terus, apa-apa nanti senang.
“Dia (Norizam) habis lebih RM6 juta sebelum ini, jadi dalam keadaan sekarang ini mungkin sukar untuk dia dapatkan modal dia balik. Saya dulu pun habis RM12 juta.
“Apa yang kita risau jika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) berakhir dan tak sempat untuk memperbaiki pasukan bagi memberi saingan lebih baik dalam liga,” katanya.
Semalam, Zamsaham dilaporkan berkata mana-mana individu yang mahu mendapatkan Kelantan tidak perlu ‘sembang’ jika hanya ada dalam lingkungan RM5 juta.
Malah, Zamsaham turut mendedahkan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan sebagai individu yang turut berminat untuk mengambil alih kelab itu, selain Vida.
Beliau memaklumkan Erfan yang juga salah satu penaja Kelantan FC musim ini sudah mengemukakan surat kepada pihaknya.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman berkata beliau tidak tergugat dengan saingan daripada Erfan untuk mengambil alih Kelantan.
“Memang tidak tergugat langsung. Perkara itu terpulang kepada Zamsaham untuk memilih mana yang lebih baik,” katanya.
BACA: