SINGAPURA adalah sebuah negara yang bercorak republik dan majoriti penduduknya berbangsa Cina. Tidak seperti di Malaysia yang masih memartabatkan kuasa diraja.
Singapura telah terpisah dari Malaysia dan membentuk sebuah negara bebas serta berdaulat pada 9 Ogos 1965.
Namun, tahukah anda bahawa Singapura pernah diperintah oleh Raja-raja Melayu pada suatu ketika dahulu?
Ya! Walaupun pemerintahan itu hanya berlangsung selama 100 tahun, hakikatnya Singapura dibuka dan diperintah oleh Raja-raja Melayu tidak boleh dinafikan. Itu adalah fakta lipatan sejarah!
Namun siapa sangka bahawa kerabat diraja kini bekerja seperti orang biasa, mencari rezeki dengan membawa teksi, bekerja sebagai tukang cuci dan sebagainya.
Begitulah yang dialami oleh Tengku Shawal, 51, dan keluarganya yang merupakan salah seorang daripada keturunan Sultan Hussein Shah.
Kerabat Sultan Singapura hanya ada gelaran, bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu teksi
Menurut sumber Reuters, Tengku Shawal, seperti yang dibawa dalam namanya, adalah seorang putera yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemerintah diraja.
Tengku Shawal menerusi temu bualnya bersama Reuters memaklumkan bahawa beliau pernah tinggal di istana yang terletak di Kampong Glam sebelum diminta untuk berpindah bagi menjadikan istana berkenaan sebagai sebuah muzium tarikan pelancong.
Menurut Tengku Shawal, sehingga kini beliau masih lagi mengunjungi muzium yang pernah menjadi kediamannya suatu ketika dahulu di samping melawat masjid dan tanah perkuburan yang berada berdekatan dengan lokasi muzium berkenaan.
Berbicara tentang usahanya untuk melestarikan warisan kaum kerabatnya pada masa ini, Tengku Shawal memaklumkan bahawa beliau sering menggayakan persalinan pakaian tradisional kerajaan disamping menghadiri pelbagai acara perayaan yang disambut di negara itu.
Kerabat Sultan Singapura hanya ada gelaran, bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu teksi
Salah seorang kerabat diraja yang juga pernah tinggal di istana ketika zaman kecilnya, Tengku Indra, 67, turut mengakui bahawa status yang dimiliki oleh kerabatnya tidak memberi impak kepada kehidupan mereka.
“Kami bukan dinasti. Tidak penting sama ada anda berketurunan kerabat kerajaan atau tidak.
“Apa yang penting adalah anda harus memperoleh kehidupan melalui meritokrasi dan bukannya menikmati status yang ditentukan berdasarkan kedudukan nenek moyang,” katanya.
Tengku Faizal, 43, yang juga pernah tinggal di istana dan memutuskan untuk tinggal bersendirian pada tahun 1999 kini dilaporkan pernah mencari rezeki sebagai seorang tukang cuci di sebuah kondominium di Singapura sebelum memutuskan untuk menjadi pemandu teksi.
Kerana kehidupan yang serba kekurangan, Tengku Faizal turut menyatakan bahawa isterinya juga perlu bekerja di restoran makanan segera McDonald’s untuk membantu menampung perbelanjaan seharian mereka.
“Kami tidak pintar, kami tidak kaya. Kami hanya mempunyai gelaran,” luah Tengku Faizal.