Dari tunggu sampai 30 tahun baik tukar kerajaan terus – Ibrahim Ali

Dari tunggu sampai 30 tahun baik tukar kerajaan terus – Ibrahim Ali

Rakyat Kelantan terkejut dengan kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai masalah air di negeri itu dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang.

Presiden Parti Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kenyataan itu menunjukkan menteri dan kepimpinan Pas Kelantan tidak tahu mentadbir kerana untuk tukar paip baharu dan perbesarkan loji air memerlukan masa yang panjang.

“Selama 30 tahun memerintah dari 1990 sehingga sekarang, tidak ada apa-apa kemajuan dan pembaharuan dilakukan. Hari ini minta 30 tahun lagi tempoh untuk baikpulih bekalan air. Nampaknya, lama lagilah rakyat Kelantan menderita.

“Selama ini rakyat minum dan guna air berkarat, berwarna coklat. Pemimpin Pas tidak ada usaha langsung hendak mengatasinya, sebaliknya selamba sahaja kerana berlindung atas nama kerajaan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Kota Bharu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, kementeriannya akan memohon peruntukan RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah air secara holisitik di Kelantan.

Kata beliau, peruntukan itu melibatkan tiga perkara utama iaitu tebatan banjir termasuk pembinaan empangan baharu, penggantian paip lama berusia lebih 40 tahun dan menaik taraf loji serta projek pembentungan bersepadu.

Langkah itu dibuat selepas mengambil kira kapasiti penduduk yang banyak dan mampu menyelesaikan masalah bekalan air Kelantan, dalam tempoh 30 hingga 40 tahun ke hadapan.

Menurut Dr. Ibrahim, di Kelantan bukan sahaja masalah air, banyak isu membelenggu rakyat seperti kadar pengangguran, penghijrahan ratusan ribu anak muda, ketiadaan pelabur asing, gagal menarik pelancong dan kegiatan ekonomi rakyat amat mendukacitakan.

“Malangnya Kelantan jatuh ke tangan mereka yang tidak arif dengan kemajuan teknologi, Sains, ekonomi, tidak berinovasi dan tidak kreatif.

“Pemimpin retorik menggunakan Islam sekadar modal untuk bermain dengan emosi rakyat yang kuat pegangan agamanya. Pimpinan hanya indah khabar dari rupa. Ibarat buku yang cantik kulit, tapi isi ilmunya kosong.

“Apabila rakyat kritik, mereka akan menjawab ‘belum ada yang mati akibat air kuning dan minum air telaga boleh menjadi Exco’,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana Pas Kelantan memerlukan tempoh 30 tahun lagi untuk selesaikan masalah air, apakata rakyat tukar kepimpinan kerajaan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dr. Ibrahim mempersoalkan ke mana wang royalti minyak yang dibayar kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri itu digunakan, sedangkan ekonomi Kelantan kekal lembab, tidak produktif.

“Rakyat Kelantan terutama anak muda wajar bangkit dengan tegas dan lantang menuntut air bersih diselesaikan secepat mungkin.

“Saya sedih dan dukacita apabila menteri memberi jaminan 30 tahun lagi akan tukar paip dan ketika itu saya sudah berumur 100 tahun, tentu tidak sempat merasa air bersih dari paip baru,” katanya sinis. – MalaysiaGazette

Berita penuh:

https://malaysiagazette.com/2020/07/05/baik-tukar-kerajaan-dari-tunggu-30-tahun-nak-selesai-masalah-air/

COMMENTS