Dari segi agama, rakyat wajib mengikut arahan pemerintah – Muslimat Pas

Dari segi agama, rakyat wajib mengikut arahan pemerintah – Muslimat Pas

Semua pihak bertanggungjawab untuk hentikan penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi setiap langkah pencegahan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam berkata dari segi agama, rakyat wajib mengikut arahan pemerintah iaitu menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Uslub wiqayah perlu difahami demi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup ummah,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Di samping itu, beliau turut menyeru kepada saudara Islam untuk sama-sama bermunajat secara berterusan agar Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat wabak Covid-19 ini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar elakkan ‘blaming game‘ dan berhati-hati dengan maklumat-maklumat palsu yang menggugat ketenteraman negara.

“Beri kerjasama kepada pihak berwajib untuk program vaksinasi nanti. Semua pihak bertanggungjawab untuk mendapatkan herd immunisation daripada populasi, ia bagi membendung serta menghapuskan wabak ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) berkata keprihatinan masyarakat amat diperlukan kepada golongan yang terjejas terutama dari segi ekonomi.

Katanya, LKKPP sendiri telah melancarkan Tabung Prihatin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Rangkaian aktivis kebajikan sentiasa berusaha membantu orang ramai yang terkesan terutama menerusi Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan di kawasan-kawasan.

“Orang ramai diminta menghubungi talian yang disediakan sama ada talian agensi-agensi terlibat atau talian daripada PAS itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY