Masalah berat badan berlebihan dan obesiti telah lama menjadi isu utama di Malaysia.
Situasi ini semakin meruncing apabila kini dianggarkan seramai 11 juta rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023
menunjukkan bahawa 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan. Angka ini meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada tahun 2019.
Selain itu, data The World Factbook oleh Central Intelligence Agency (CIA) dari 2016 hingga 2024 juga menyatakan
bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua di Asia Tenggara bagi bilangan rakyat yang mengalami obesiti.
Terkejut dengan statistik tersebut, seorang pelancong memutuskan untuk melawat Malaysia bagi memahami gaya hidup dan pemakanan masyarakat di sini. Dalam sebuah video, pelancong itu berkongsi pengalamannya melawat Vietnam, negara dengan kadar obesiti terendah di Asia (2 peratus), sebelum tiba di Malaysia.
Di Vietnam, beliau memuji gaya hidup aktif penduduknya dan makanan yang sihat. “Makanan mereka segar, rendah kalori, kaya dengan sayur-sayuran dan protein tanpa lemak. Penduduknya juga sangat aktif, berjoging dan beriadah di pantai seawal pukul 6 pagi,” katanya.
Namun, situasi di Malaysia memberi kejutan besar kepadanya. Dengan kadar obesiti 54 peratus, beliau mengaitkan masalah ini dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup masyarakat.
“Kadar obesiti di sini sangat tinggi. Makanan segera, minuman bergula, dan makanan diproses ada di mana-mana. Malah, gula ditambah dalam salad. Selain itu, negara ini juga kurang mesra pejalan kaki. Melintas jalan di Kuala Lumpur pun sangat mencabar,” jelasnya.
Di ruangan komen, ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan pemerhatian pelancong tersebut.
“Pesan kopi atau teh kurang gula pun tetap manis, dan minuman tanpa kalori jarang dijual di kedai makan.”
“Betul tu, pukul 2 pagi makan roti canai dengan nasi lemak.”
“Sedih tengok video ni sambil makan nasi briyani.”
“Saya tengah habiskan burger Ramly double special kedua saya masa tengok video ni.”
“Dekat Malaysia, ada juga yang pergi pantai pagi-pagi… tapi untuk makan.”
Namun, pelancong itu turut menunjukkan minat terhadap makanan Malaysia dan meminta cadangan tempat terbaik di Kuala Lumpur untuk mencuba tiga hidangan popular, iaitu Ramly burger, nasi lemak, dan satar ikan.
BACA: Siapa sangka, Malaysia punyai jenama kereta kayangan setanding Rolls Royce