Dalam masa 10 hari, RM2.1 billion kiriman wang masuk ke Bangladesh, apa dah jadi?

Oleh AHMAD SULAIMAN

Bangladesh telah menjadi tumpuan media global selepas berlakunya protes besar-besaran yang akhirnya

menyebabkan beberapa tokoh utama, termasuk bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, meletakkan jawatan.

Ketika protes semakin memuncak, Hasina dilaporkan telah meninggalkan negara, dan kini Bangladesh

sedang melalui proses pemulihan di bawah pemerintahan sementara yang diketuai oleh tokoh terkenal, Muhammad Yunus.

Selepas kekecohan ini reda, rakyat Bangladesh yang tinggal di luar negara, termasuk di Malaysia, mula kembali menghantar wang ke tanah air mereka.

Dalam masa 10 hari, RM2.1 billion kiriman wang masuk ke Bangladesh, apa dah jadi?

Dengan keyakinan baharu terhadap pemimpin baru, pekerja migran Bangladesh di Malaysia kini tidak lagi ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan kiriman wang demi menyokong keluarga mereka di kampung halaman.

Menurut laporan dari The Business Standard yang berpangkalan di Dhaka, pekerja Bangladesh di Malaysia telah memenuhi kedai-kedai penukaran wang yang menawarkan perkhidmatan kiriman wang.

Salah satu gambar dalam laporan tersebut menunjukkan keadaan sesak di sebuah kedai pengurup wang di Kuala Lumpur pada 12 Ogos, di mana pekerja migran beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Laporan itu juga memetik kenyataan ketua bahagian Perbendaharaan sebuah bank Islam yang menyatakan bahawa sebahagian besar kiriman wang ke Bangladesh berasal dari Malaysia, Singapura, UAE, dan UK.

Dalam tempoh 10 hari pertama bulan Ogos sahaja, Bank Bangladesh melaporkan bahawa jumlah kiriman wang yang masuk ke negara itu mencecah USD482.77 juta, bersamaan kira-kira RM2.1 bilion.

Jumlah ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan situasi semasa protes.

Pada enam hari pertama sebelum dan selepas peletakan jawatan Sheikh Hasina, hanya USD95.65 juta atau RM425.5 juta dikirimkan ke Bangladesh.

Ini menunjukkan bahawa ketidakstabilan politik secara langsung mempengaruhi keyakinan rakyat Bangladesh di luar negara untuk menghantar wang ke kampung halaman mereka.

Dengan Muhammad Yunus kini memimpin kerajaan sementara, rakyat Bangladesh di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, kembali yakin terhadap masa depan negara mereka.

BACA: ‘Saya nak brek emergency, sekali Azizul potong’, ‘Pacer’ Olimpik Paris dedah cerita sebenar