Dakwaan terima RM1.3 Juta, akhirnya Muhyiddin buka mulut. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima RM1.3 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara bulan Jun sehingga Ogos 2018.
Menurutnya, dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana dalam tempoh tersebut beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan.
“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Hal ini tersebar luas dalam media massa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi pada Jumaat, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang juga saksi ke-17, David Tan Siong Sun memberitahu Muhyiddin menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.
Menafikan perkara tersebut, Muhyiddin berkata, beliau sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara pada tarikh yang dinyatakan oleh saksi berkenaan.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas.
BACA JUGA :
Che Ta terima hadiah anniversary paling wow tahun ini
Padah naikkan harga air dan makanan wayang, GSC kena denda Rm 45K
Pertemuan Azmin dan wakil PKR, khabar angin Anwar bawa masuk Azmin bertiup kencang