Dakwaan Malaysia bakal muflis macam Sri Lanka, Tengku Zafrul buka mulut

Oleh INFORAKYAT

Dakwaan Malaysia bakal muflis macam Sri Lanka, Tengku Zafrul buka mulut. Betul Ke Malaysia Banyak Hutang & Akan Muflis Macam Sri Lanka? Ini Penjelasannya

Baru-baru ini tular satu perkongsian yang mendakwa bahawa Malaysia sedang mengalami masalah ekonomi dan akan muflis seperti Sri Lanka akibat jumlah hutang yang tinggi.

Malah, ada yang mendakwa bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua yang mempunyai hutang paling tinggi di Asia selepas Sri Lanka.

Berikutan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Tengku Zafrul berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita palsu yang disebarkan di media sosial.

Dakwaan Malaysia bakal muflis macam Sri Lanka, Tengku Zafrul buka mulut

Jelasnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan bahawa Malaysia mempunyai masalah ekonomi dan kerajaan sentiasa berdisiplin dalam membayar hutang negara.

“Ini bermaksud kedudukan fiskal negara kekal kukuh, IMF dan Bank Dunia pun yakin dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Masing-masing mengunjurkan KDNK Malaysia pada 5.75 peratus dan 5.5 peratus,” katanya.

Menurutnya lagi, Malaysia bukan negara kedua tertinggi di Asia dari segi hutang.

“Ini pun palsu sebab ada banyak lagi negara di Asia yang mempunyai hutang lebih tinggi daripada Malaysia seperti Jepun dengan KDNK 263 peratus dan Singapura 132 peratus.

“Dibandingkan dengan Sri Lanka 107 peratus, hutang Malaysia hanya 63.4 peratus sahaja, jauh beza dengan Sri Lanka,” jelasnya.

Sementara itu, indikator ekonomi Malaysia lebih kukuh dan stabil berbanding Sri Lanka, di mana baki akaun semasa negara adalah 12.9 peratus berbanding Sri Lanka -3.8 peratus.

Manakala rizab rasmi kasar negara pula adalah USD 116.9 bilion dan Sri Lanka hanya USD 3.138 bilion.

“Defisit fiskal negara juga adalah -6.4 peratus berbanding -11.4 peratus di Sri Lanka, juga perbezaan yang ketara.

“Jadi dengan fakta-fakta ini, kita dapat rungkaikan bahawa Malaysia tidak akan jadi seperti Sri Lanka,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan juga telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai laporan palsu tersebut yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

BACA:

Lebih ramai orang muda berdepan risiko muflis tahun depan, ini puncanya…

Bilangan rumah untuk dilelong bank meningkat, bilangan muflis bertambah

Perniagaan muflis, rakyat merana kerana kerajaan gagal bendung gelombang ketiga Covid-19