RTM, badan penyiaran milik kerajaan, kini menghadapi kritikan selepas seorang kakitangannya
Mereka mendedahkan isu tunggakan gaji melalui hantaran di media sosial LinkedIn yang turut tular di platform X.
Dalam perkongsian tersebut, editor bahasa Inggeris, Noor Ainun Jariah Noor Harun, meluahkan rasa kecewanya
kerana masih belum menerima gaji pertama walaupun sudah hampir dua bulan berkhidmat.
Noor Ainun menyatakan bahawa pelbagai alasan diberikan oleh pihak atasan, termasuk “admin bercuti,” “admin sakit,” dan “admin baru.”
Walaupun sering diberi jaminan bahawa gaji akan dibayar, beliau menganggap tindakan tersebut tidak mencerminkan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Bagaimana pekerja boleh bertahan tanpa gaji dibayar tepat pada masanya?” katanya, sambil menggambarkan kekecewaan yang dirasai oleh para pekerja RTM.
Menurutnya, masalah ini telah dilaporkan kepada pihak pengurusan beberapa kali, namun tiada penyelesaian tuntas diambil.
“Saya tahu ada yang mungkin mencadangkan untuk memfailkan aduan rasmi atau menghantar e-mel kepada Ketua Pengarah RTM atau pihak atasan lain.
“Langkah-langkah ini sudah dilakukan berkali-kali, bukan sahaja oleh saya tetapi juga pekerja lain. Namun, apakah hasilnya? Malangnya, tiada.
“Masalah ini hanya ditangani dengan penyelesaian sementara, sedangkan sistem sedia ada sudah lapuk dan tidak cekap.
“Sebagai contoh, mesin rekod kehadiran sering rosak, memaksa kami mengisi borang manual hanya untuk merekodkan waktu bekerja,” jelas Noor Ainun.
Beliau turut meluahkan ironi terhadap keadaan ini, memandangkan beliau sendiri kerap melaporkan inisiatif kerajaan dalam mendigitalkan sistem dan meningkatkan kelestarian.
“Kerajaan bercakap tentang digitalisasi dan kelestarian hampir setiap hari, namun di RTM, kami masih bergantung pada sistem manual dan mencetak borang tanpa henti. Di mana kelestarian itu?” soalnya.
Noor Ainun juga menyatakan rasa kecewanya terhadap layanan yang diterima oleh pekerja kontrak dan sambilan, sambil menambah, “Mengapa pekerja kontrak dilayan begini? Adakah kami tidak penting?”
Beliau menggesa campur tangan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, untuk menyelesaikan isu ini.
“Saya tidak akan berhenti bersuara sehingga mendapat respons daripada pihak tertinggi,” tegasnya.
BACA:Rupanya ini beza tafsiran Gen Z, Gen Y, Gen X, Gen Alpha dan Baby boomers