Daging seludup guna logo halal, Jakim sedang siasat

Daging seludup guna logo halal, Jakim sedang siasat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang ulasan dan pandangan berhubung isu daging seludup yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Tegas timbalan ketua pengarah (operasi) Jakim, Abdul Aziz Jusoh, tindakan itu boleh meresahkan rakyat, menjejaskan industri daging halal dan kepercayaan terhadap pensijilan halal negara, sedangkan kes itu masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes.

“Perkara ini secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.

“Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jakim.

Daging dan produk daging yang diimport juga perlu disahkan halal menerusi badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim dan perlu dikemukakan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport sebelum dibenarkan masuk ke pasaran negara.

Kelulusan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga perlu terlebih dahulu diperolehi.

“Dimohon semua pihak untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya,” katanya.

Setelah dibangkitkan di Parlimen awal bulan lalu, KPDNHEP memaklumkan kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini sedang dalam proses siasatan.

New Straits Times pada 21 dan 22 Disember melaporkan bahawa kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Antara daging yang dikatakan dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/556329

COMMENTS