Cukup-cukuplah dengan pegumuman terkejut kerajaan – PH

Cukup-cukuplah dengan pegumuman terkejut kerajaan – PH

Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaan perlu menghentikan dasarnya dalam membuat pengumuman tergempar secara mengejut.

Ini setelah Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula mulai 1 Mac, yang menurutnya merupakan perubahan yang mengejut.

Ibu bapa kini dikatakan menghadapi tekanan membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“… (perkara ini) membuatkan mereka yang telah membeli komputer riba dan tablet tertanya-tanya apakah mereka boleh menggunakan duit yang telah dibelanjakan itu ke arah perkara-perkara lain.

“Dasar membuat pengumuman tergempar seperti ini wajib diberhentikan, dan kerajaan perlu menyatakan perancangan untuk menyelamatkan anak-anak ini yang disebut ‘generasi yang hilang’,” kata PH dalam kenyataan media hari ini.

Sesi persekolahan beralih ke pembelajaran dalam talian setelah negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 13 Jan, mendorong orang ramai mendapatkan peranti dalam talian yang merupakan cabaran bagi keluarga miskin.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ia dikeluarkan selepas mesyuarat majlis presiden PH untuk membincangkan situasi semasa Covid-19.

Kenyataan itu menyorot bahawa dari segi ekonomi, penuncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.6 peratus, iaitu lebih buruk daripada yang dijangkakan dalam Belanjawan 2021 (4.5 peratus).

“Ada keperluan segera untuk menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi, lebih daripada usaha yang sedang dilakukan ini, yang amat tidak mencukupi.

“Rakyat perlu dibantu dan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion diperlukan, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang telah diumum awal tahun ini.

“Kami masih menunggu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji bantuan kebajikan bulanan RM1,000 yang perlu dipanjangkan kepada golongan yang menganggur,” kata kenyataan itu.

Pemimpin PH mengatakan pada dasarnya, cara terbaik untuk menyelamatkan ekonomi adalah dengan menangani wabak Covid-19.

Mereka menambah bahawa ini memerlukan peningkatan jumlah ujian Covid-19 harian 50,000 hingga 70,000 sebanyak lima kali ganda.

Mereka mengatakan bahawa ia akan menelan belanja sebanyak RM2 bilion selama tiga bulan tetapi menambah bahawa ia diperlukan baik untuk mengendalikan wabak ini.

Pada masa ini, mereka mengatakan golongan peniaga ragu-ragu untuk melakukan ujian Covid-19 berkala kerana kos yang perlu ditanggung.

Justeru, mereka menggesa kerajaan untuk memberikan subsidi ujian.

Mereka juga meminta kerajaan untuk meningkatkan subsidi gaji.

“Syarikat-syarikat yang telah beroperasi di bawah keadaan PKP selama setahun rata-rata telah kehabisan simpanan.

“Kita bakal berdepan gelombang kemuflisan dalam bulan-bulan yang akan datang jika sokongan yang diperlukan tidak diberi.

“Setidak-tidaknya moratorium pinjaman bank perlu dipanjangkan secara automatik dan tanpa syarat, mengurangkan beban kos tetap seperti sewaan dan bayaran utiliti dengan pemberian subsidi, pinjaman kredit dan geran.

“Kelangsungan syarikat-syarikat ini dan ekonomi negara kita bergantung kepada bantuan-bantuan yang perlu diberi ini,” kata mereka lagi.

Pemimpin PH juga menggesa agar penggantungan parlimen ditamatkan agar badan perundangan dapat memainkan peranannya dalam melaksanakan reformasi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563918