Cucu simpan keris Mat Kilau lebih 20 tahun

Cucu simpan keris Mat Kilau lebih 20 tahun

Cucu simpan keris Mat Kilau lebih 20 tahun. Keris milik Mat Kilau yang menjadi lambang per­juangan menentang penjajah Inggeris suatu ketika dahulu kini sudah lebih 20 tahun berada di dalam simpanan cucunya, Mohd. Alhamadi Abu Bakar, 55.

Menurut Mohd. Alhamadi, beliau mewarisi keris tersebut sejak tahun 2002 daripada arwah bapanya, Abu Bakar Awang.

“Keris ini permu­laan penentangan Mat Kilau terhadap penjajahan Inggeris di negeri Pahang pada tahun 1890 yang diterima pada usia 16 tahun daripada ayahnya, Tok Gajah,” katanya ketika ditemui pemberita pada tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan anjuran Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di IOI City Mall di sini, kelmarin.

Mohd. Alhamadi turut memberi peluang kepada beberapa jurugambar untuk merakamkan gambar keris itu selepas dikeluarkan daripada sarungnya, na­mun, enggan mendedahkan na­ma keris tersebut.

Jelas Mohd. Alhamadi, tokoh pahlawan Melayu itu mempunyai beberapa lagi orang cucu tetapi beliau telah dipilih sebagai pemegang amanah untuk menyimpan keris bersejarah itu.

Cucu simpan keris Mat Kilau lebih 20 tahun

“Ibu saya bernama Jaleha Mohamad dan Mohamad itu adalah Mat Kilau. Ibu saya telah berkahwin dengan bapa saya, Abu Bakar yang juga merupakan anak angkat kepada Mat Kilau.

“Ibu saya menjaga Mat Kilau hampir 35 tahun ketika menetap di Batu 5, Paya Besar, Kuantan dan beliau meninggal di situ, namun telah mewasiatkan untuk dikebumikan di Pulau Tawar, Jerantut iaitu tempat kelahirannya,” ujarnya yang merupakan seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan sambutan luar biasa yang diterima filem tersebut, Mohd. Alhamadi menyifatkan ia sebagai sebuah naskhah yang mempunyai daya tarikan dan kekuatan yang tersendiri.

Ini kerana katanya, filem berkenaan masih menerima sambutan hangat dan luar biasa walaupun sudah tiga minggu ditayangkan di pawagam.

“Pada pandangan saya ia satu kerja yang baik kerana dapat membangkitkan semangat jati diri Melayu Islam selain me­ngembalikan semula zaman kegemilangan orang-orang Melayu.

“Penerimaan filem yang menggunakan nama tokoh Mat Kilau ini juga mempunyai kekuatan yang tersendiri sehingga ia berjaya membuat kutipan yang sebegitu,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga sebagai salah seorang pewaris apabila nama tokoh pahlawan Melayu itu diangkat ke dalam sebuah filem.

“Paling penting saya ucapkan tahniah kerana menggambarkan Mat Kilau yang sebenar dan tidak menggambarkan jalan cerita yang dongeng.

“Kita juga ucap ribuan terima kasih dan berbangga apabila satu nama tokoh Melayu yang besar diangkat semula serta menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara itu mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu dengan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari dan ramai lagi. Sehingga kelmarin, filem itu terus mencetuskan fenomena apabila mengaut lebih RM71.27 juta.

BACA:

Wow! Mat Kilau kutip RM53 Juta dalam masa 13 hari

Kaw-kaw kritik filem Mat Kilau fasis, pemuda terpaksa tutup ruang komen

“Orang Kelantan dah boleh tengok Mat Kilau di TV”, Syamsul umum akan ditayang di Netflix

CATEGORIES