COVID-19 terus mencatat peningkatan dengan 26 kes dilaporkan

COVID-19 terus mencatat peningkatan dengan 26 kes dilaporkan

Angka harian jangkitan baharu COVID-19 terus mencatat peningkatan dengan 26 kes dilaporkan, hari ini, meliputi 23 penularan tempatan dan tiga kes import.

Ia sekali gus menjadikan bilangan kumulatif mencecah 9,175 jangkitan dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan ialah 219 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penularan tempatan membabitkan rakyat Malaysia meliputi 12 kes daripada Kluster Tawar, Kluster Sala (tiga) dan Kluster Muda (satu).

Selain itu, masing-masing satu kes saringan tempat kerja dan saringan kontak rapat di Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes saringan prapembedahan di Johor dan Perlis.

Tiga lagi penularan tempatan membabitkan bukan warganegara, iaitu dua kes saringan tahanan adalah pendatang asing tanpa izin di Negeri Sembilan dan satu saringan tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Tiga kes import pula membabitkan dua rakyat Malaysia dan seorang warga asing di Kuala Lumpur. Mereka mendapat jangkitan dari Austria, Amerika Syarikat dan Vietnam,” katanya.

Dalam pada itu, enam pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

Tiga pesakit dilaporkan pulih, setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatifnya 8,831 kes (96.25 peratus) dan tiada pertambahan kematian akibat COVID-19 di negara ini dengan bilangan kekal 125 kes (1.36 peratus).

Mengulas perkembangan Kluster Tawar pula, Dr Noor Hisham berkata, 33 individu sudah dijangkiti di Kedah dan Pulau Pinang, setakat ini.

“Seramai 657 individu sudah disaring dalam kluster ini, iaitu 520 di Kedah (30 positif, 472 negatif dan 18 masih menunggu keputusan).

“Selain itu, 129 di Pulau Pinang (tiga positif, 119 negatif dan tujuh masih menunggu keputusan) serta lapan di Perak yang semuanya masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi Kluster Muda, 133 individu telah disaring dengan tiga dikesan positif, 27 negatif dan 103 masih menunggu keputusan, sementara pengesanan kes secara aktif serta saringan kontak rapat masih diteruskan.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721601/covid-19-26-kes-lagi-dilaporkan

COMMENTS