Covid-19 : Lokasi paling bahaya sekarang adalah Parlimen, sindir Najib

Covid-19 : Lokasi paling bahaya sekarang adalah Parlimen, sindir Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak secara sinis menyindir prosedur operasi standard (SOP) terbaru kerajaan dalam mengawal Covid-19 yang menurutnya menggambarkan bahawa wabak itu hanya berbahaya di Parlimen.

Ini selepas kerajaan melonggarkan beberapa peraturan yang ditetapkan bagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kenyataan itu juga hadir ketika negara berada di bawah darurat yang menggantung sidang parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Jan lalu.

“Had dua orang bagi setiap meja dalam restoran ditarik balik. Tiada lagi had bagi jumlah penumpang dalam kereta.

“Tiada lagi had 10km perjalanan. Kedai 4D, kedai slot machine, kasino dibuka semula,.

“Masihkah kita perlu PKP sekiranya Covid hanya bahaya dalam parlimen?” tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tidak ada lagi peraturan makan semeja dua orang di kedai makan, sebaliknya dibenarkan mengikut kesesuaian saiz meja di semua negeri yang dikuatkuasakan PKP.

Bagaimanapun SOP penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain dikekalkan.

Selain itu, kerajaan juga turut membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk bagi negeri yang masih menguatkuasakan PKP bermula esok.

Ismail Sabri berkata, peraturan sama turut dilaksanakan bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Dalam pada itu Najib mempersoalkan keperluan untuk polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) termasuk memantau pematuhan SOP PKP.

“Jika begini, adakah kita masih perlu ‘roadblock’ dalam bandar ataupun pegawai polis boleh diagih untuk jaga sekatan rentas negeri atau penguatkuasaan pematuhan SOP,” kata Najib lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563521