Covid-19: Kerajaan P.Pinang umum 20 lagi insentif untuk rakyat

Covid-19: Kerajaan P.Pinang umum 20 lagi insentif untuk rakyat

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’ berjumlah RM76 juta bagi memperkukuhkan ekonomi negeri selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan pengumuman terbaru itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi insentif bantuan COVID-19 yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang setakat ini adalah berjumlah RM151 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ‘pakej rangsangan ekonomi negeri’ kedua itu adalah bertujuan meletakkan wang ringgit ke tangan golongan paling terkesan, pasaran serta industri tersasar.

“Pakej bantuan ini diluluskan berpandukan tiga matlamat iaitu pertama, adalah untuk memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan.

“Kedua, mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

“(Dan) ketiga adalah untuk membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca PKP,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Chow Kon Yeow menerima sumbangan 8,000 unit pelitup muka daripada syarikat Titijaya Land Berhad bernilai RM12,000 khas untuk penjawat awam negeri.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang menjelaskan bahawa melalui pakej tersebut, Kerajaan Negeri mengemukakan 20 insentif antaranya, memberikan rebat cukai taksiran selain bantuan wang tunai kepada pasukan barisan hadapan, nelayan, pengusaha taska, penjaja serta peniaga kecil.

20 insentif berkenaan adalah seperti berikut :

Rebat bagi cukai taksiran tahun 2020 bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bantuan RM500 (one-off) kepada penjaja/penggerai yang berniaga dalam kompleks makanan/ kedai persendirian (shoplot) kepada 3,103 peniaga.

Bantuan RM500 (one-off) kepada penjaja/penggerai yang mempunyai tagging dan berdaftar dengan PBT melibatkan seramai 5,666 peniaga.

Bantuan RM300 (one-off) kepada kakitangan barisan hadapan (senarai tambahan) yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19 melibatkan 6,099 keanggotaan.

Bantuan RM300 (one-off) kepada ahli MPKK dan JPWK yang layak (barisan hadapan) membabitkan 6,050 ahli.

Bantuan RM500 (one-off) kepada pemandu bas/van persiaran, kereta sewa/limosin pelancongan seramai 321 individu.

Bantuan RM300 (one-off) kepada pengusaha lancang air (watercraft operator) dan aktiviti pantai di Batu Feringghi membabitkan seramai 39 orang.

Peruntukan RM200,000 untuk pelaksanaan Show Penang, sebuah projek bagi membangunkan kandungan digital sektor seni, budaya dan warisan.

Bantuan RM500 (one-off) kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang sebanyak 645 buah.

Peruntukan RM100,000 kepada NGO dan individu yang membantu masyarakat Pulau Pinang menangani masalah keganasan rumah tangga.

Bantuan RM400 (one-off) kepada Nelayan Pesisir Pantai (Zon A) membaitkan seramai 5,814 orang.

Bantuan kotak insulasi bernilai RM180 kepada 250 nelayan darat/sungai.

Insentif makanan ternakan bagi penternak tradisional untuk komoditi unggas, ruminan dan khinzir yang bakal memanfaatkan seramai 988 orang.

Bantuan khas dari Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengecualian kadar sewaan dan pajakan bagi projek-projek CMI dan SSI yang berkaitan bagi bulan April dan Mei melibatkan 33 pengusaha/syarikat.

Diskaun kadar sewa dan pengecualian sewa bagi syarikat/peniaga/penghuni di bawah pengurusan/kawasan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melibatkan 387 syarikat/premis/penghuni.

Konsesi sewa kepada 24 lot-lot komersial di bawah Perbadanan Bukit Bendera untuk setengah bulan pada bulan Januari dan Februari dan sepenuhnya untuk bulan Mac, April dan Mei 2020. Bayaran RM500 (one-off) seorang kepada 13 orang pengendali servis jip Bukit Bendera.

Pinjaman di bawah Skim PEKA (di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) khusus untuk sektor pelancongan.

Pengecualian bayaran sewa bagi rumah sewa dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kerajaan Negeri bagi tempoh tambahan dua (2) bulan lagi kepada 2,911 unit.

Pengecualian bayaran sewa bagi unit kedai di bawah pengurusan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Negeri bagi tempoh tambahan tiga bulan lagi melibatkan 122 unit.

Dalam pada itu, sebelum menamatkan mesej siaran langsung tersebut, Kon Yeow turut menerima sumbangan 8,000 unit pelitup muka daripada syarikat Titijaya Land Berhad bernilai RM12,000 kepada penjawat awam negeri.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Titijaya Land Berhad, Goh Chin Heng dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan dan Projek Hartanah (Cawangan Pulau Pinang), Ling Hock Sing.

Berita penuh : https://www.buletinmutiara.com/pakej-bantuan-rakyat-pulau-pinang-covid-19-berjumlah-rm151-juta/

COMMENTS