Contohi Selangor dalam pengharaman meminum arak dan merokok di tempat awam

Contohi Selangor dalam pengharaman meminum arak dan merokok di tempat awam

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengharamkan merokok termasuk rokok eletronik dan minum minuman keras di taman awam di seluruh negeri ini berkuasa kuasa serta merta, bermula pada 14 Julai 2020 wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain. Bagi saya, pengharaman merokok dan minuman arak di kawasan awam yang menjadi senarai kesalahan di Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor adalah wajar dan tepat pada masanya. Lebih lagi Selangor menjadi negeri yang pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman-taman permainan serta taman-taman rekreasi di seluruh negeri.

Pengumuman ini dilihat bahawa kerajaan Selangor terkehadapan dalam menangani masalah sosial terutama yang membabitkan kesihatan awam. Ia sebagai tanda kerajaan ini prihatin, mesra rakyat, dan serius memastikan kelestarian hidup rakyat Selangor. Saya sendiri pernah membangkitkan isu ini ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2019, dan hasilnya tindakan telah diambil pada hari ini.

Tempat awam dikunjungi oleh kanak-kanak, orang tua, wanita serta golongan yang berkeluarga. Tempat rekreasi awam adalah lokasi sihat untuk masyarakat beriadah, berehat dan bersantai dihujung minggu. Justeru, amat tidak sesuai jika kawasan awam seperti ini dijadikan tempat untuk mabuk dan merokok. Mereka yang merokok boleh membahayakan kesihatan golongan lain terutama kanak-kanak, orang tua dan wanita. Sementara pemabuk pula dikhuatiri boleh mencederakan pengunjung lain atau merosakkan harta awam di taman rekreasi. Sisa rokok dan botol atau tin arak yang dibuang di merata-rata tempat pula sangat mencemarkan dan menjijikkan pandangan.

Dalam keadaan Malaysia sedang di ambang pemulihan dari COVID-19, udara dan persekitaran khususnya di kawasan taman awam mestilah bersih dari pencemaran. Oleh itu, kualiti udara sekitar kawasan awam itu hendaklah selamat dari pencemaran oleh asap dan sisa rokok yang dibuang merata-rata. Pengunjung pusat awam pasti merasa selesa dan tenang tanpa kehadiran perokok dan peminum arak. Dibimbangi pula amalan mereka menjadi ikutan kepada kanak-kanak dan remaja yang berada di kawasan sekitar.

Apa yang membanggakan di saat negeri lain menuduh negeri-negeri kerajaan Pakatan Harapan sebagai liberal, sekular, sosialis dan pro penganjuran program mungkar, pengumuman EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, membuktikan bahawa kerajaan Selangor tidak bertoleransi terhadap kemungkaran dan apa juga perkara yang mengundang mudarat kepada masyarakat termasuk dari segi kesihatan dan sosial. Negeri yang mempunyai penduduk yang padat dengan berbilang agama, bangsa dan budaya ini sepakat menolak arak dan rokok sebagai amalan biasa dalam masyarakat di tempat awam. Justeru, ini menolak tohmahan bahawa para pemimpin Pakatan Harapan tidak bersedia mengharamkan arak.

Apa yang diharapkan, negeri-negeri lain mengikut jejak kerajaan Selangor. Langkah ini sebagai pendidikan berpanjangan kepada masyarakat dan mesej kepada para perokok dan peminum arak, bahawa tiada manfaat daripada minuman alkohol itu serta rokok terhadap diri mereka, keluarga dan masyarakat. Ia juga sebagai usaha memastikan perokok tegar atau peminuma arak dapat mengurangkan atau menghentikan amalan mereka sedikit demi sedikit.

YB USTAZ MOHD FAKHRULRAZI BIN MOHD MOKHTAR
AHLI DEWAN NEGERI MERU, SELANGOR

Sumber :

COMMENTS