Gara-gara membenarkan anak berusia 10 tahun memandu kereta, seorang pekerja pembersihan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik, Seremban hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Marlissa Mohd Fahmy terhadap tertuduh selepas wanita berusia 46 tahun terbabit mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Wanita yang tidak diwakili peguam itu turut merayu supaya dikenakan denda rendah kerana hanya meraih pendapatan RM1,500 sebulan
selain perlu menanggung tiga anak masih bersekolah manakala suaminya pula sedang sakit.
Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan, lapor Harian Metro.
Hal ini berikutan perbuatan itu tidak hanya membahayakan diri pelaku sendiri malah turut merisikokan keselamatan orang awam kerana ketika kejadian, anak tertuduh membawa seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun bersama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik kenderaan jenis Toyota Corolla telah membenarkan kanak-kanak berusia 10 tahun memandu kereta itu di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian pada 9 malam, 3 September lalu.
Perbuatan itu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM2,000 atau penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah peruntukan sama.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda bernilai RM700 atau dipenjara selama tujuh hari sekiranya wanita terbabit gagal membuat bayaran.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan memandu kereta Toyota Corolla milik keluarganya hingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban.
Kenderaan dipandu oleh kanak-kanak itu difahamkan telah terbabas ketika melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
Van berkenaan kemudian menggelongsor ke hadapan dan terlanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya akibat daripada kemalangan itu.
Nasib bagaimanapun masih menyebelahi pemandu apabila kanak-kanak berkenaan dan penumpangnya iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga jirannya itu didapati tidak mengalami kecederaan.
Baca juga: Lelaki meninggal dunia selepas kerja lebih masa selama 104 hari, cuti hanya sehari