Seperti yang dikongsikan seorang wanita di laman X, dia meluahkan hasratnya untuk menetap di Kota Tinggi, Johor, selepas berpindah dari ibu kota.
Wanita tersebut, yang baru sahaja ditempatkan sebagai guru di sebuah gugusan Felda di kawasan berkenaan,
menyatakan bahawa dia telah menemui cinta selepas dipindahkan ke negeri tersebut.
“Saya guru yang baru posting. Saya berasal dari Kuala Lumpur, tapi kini bekerja di Felda di Kota Tinggi, Johor,” tulisnya.
Guru wanita ini berhasrat untuk menetap di Johor selepas bertemu dengan seorang peneroka Felda.
“Patut ke saya settle down (menetap) dekat sini? Sekarang ni saya sedang berkenalan dengan seorang lelaki yang merupakan peneroka,” ujar wanita tersebut.
Menurutnya, perbezaan umur 10 tahun antara mereka tidak menjadi halangan untuk meneruskan hubungan. Wanita ini juga berasa lega apabila mengetahui lelaki yang dikenali itu telah memiliki rumah sendiri, yang dibina melalui Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Kota Tinggi.
PGBF adalah perumahan khas untuk generasi baru yang terdiri daripada anak dan cucu peneroka asal Felda.
“Umur dia sudah 33 tahun, berbeza 10 tahun dengan saya. Dia pun sudah ada rumah sendiri, perumahan Felda generasi kedua. Tapi saya belum bersedia nak meneruskan kehidupan di kampung,” ujar wanita itu, yang kini dibelenggu dengan dilema tersebut.
Perkongsian ini mendapat pelbagai reaksi dari netizen, yang memberi pandangan mengenai situasi tersebut.
Seorang netizen memberi nasihat, “Dik, saya tahu belum dapat tunggakan gaji lagi, tapi jangan terlalu terdesak.
Awak rasa awak sekufu ke dengan dia dari segi pemikiran atau perangai? Awak orang KL boleh hidup ke kalau kahwin dengan orang Felda? Jauh lagi perjalanan awak, sabar sikit.”
Seorang lagi netizen pula menjelaskan realiti mengenai PGBF yang mungkin tidak diketahui oleh wanita itu. “Anak Felda generasi kedua kalau geran tanah dengan rumah bukan atas nama dia, itu bukan milik dia.
Kalau sudah nama dia pun, dia pentadbir saja. Kecuali kalau dia anak tunggal.
Lepas tu awak kena semak, dia sambung pinjaman tanah ladang untuk 30 tahun akan datang dengan Felda ke atau buat sendiri.
Kalau awak kena pindah (tempat bertugas), dia nak ikut ke?” ujar netizen tersebut.
BACA: Ini sebab kenapa tingkap pesawat berbentuk bujur bukan petak