China jumpa deposit emas terbesar dunia bernilai RM369 bilion

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Ahli geologi di China telah menemui deposit emas terbesar dunia minggu ini, dengan anggaran nilai mencapai RMB 600 bilion (~RM369 bilion).

Medan emas Wangu, yang terletak di tengah China, dipercayai mengandungi 1,000 tan metrik emas.

Penemuan ini menjadikan medan emas Wangu mengatasi lombong South Deep di Afrika Selatan yang mengandungi 930 tan metrik emas.

Biro Geologi Wilayah Hunan mengesahkan penemuan 40 urat emas, dengan deposit emas tersebut terletak sehingga 3 kilometer di bawah tanah.

Pada masa ini, China menyumbang 10% kepada pengeluaran emas dunia, menjadikannya pengeluar emas terbesar di dunia.

China jumpa deposit emas terbesar dunia bernilai RM369 bilion

Keperluan Emas Tahunan China Masih Tinggi

Walaupun penemuan ini signifikan, keperluan emas tahunan di China masih jauh lebih tinggi. Dianggarkan, jika semua emas dari medan Wangu dilombong, bekalan tersebut hanya dapat memenuhi keperluan selama 1.4 tahun sahaja. Emas merupakan komoditi penting, terutama dalam pembuatan barangan elektronik.

Sejarah Perlombongan Emas Dunia

Sehingga kini, dianggarkan sebanyak 212,582 tan metrik emas telah dilombong oleh manusia, dengan dua pertiga daripadanya dilombong selepas tahun 1950.

Perlombongan emas dipercayai bermula lebih 6,000 tahun lalu di Mesir dan Timur Tengah, di mana ia digunakan sebagai bahan perhiasan dan simbol status kekayaan.

BACA: Pegangan saham keluarga diraja Johor dalam U Mobile meningkat 8.5%