CEUPACS kesal saluran rasmi kerajaan jadi alat untuk politik

CEUPACS kesal saluran rasmi kerajaan jadi alat untuk politik

Saluran rasmi kerajaan seperti media sosial atau laman web tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan politik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata pihaknya kesal dengan insiden saluran rasmi media sosial kerajaan disalahgunakan untuk perkara yang mempunyai unsur politik kepartian.

Katanya, ia sesuatu yang tidak wajar dilakukan ketika negara berhadapan dengan isu keselamatan yang serius membabitkan penularan wabak COVID-19.

“Saluran rasmi kerajaan sama ada media sosial atau laman web perlulah menyampaikan maklumat yang merentasi semangat kepartian politik.

“Rakyat ketika ini perlukan lebih hebahan serta maklumat mengenai situasi semasa berkaitan isu COVID-19. Medium rasmi kerajaan sepatutnya menjadi pusat penyampaian kepada usaha atau kejayaan yang dilaksanakan kerajaan tanpa menimbulkan perbalahan membabitkan ideologi politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan menegaskan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku ketika penjawat awam terutama petugas barisan hadapan mengorbankan sepenuh jiwa raga dan masa untuk berkhidmat demi negara dan rakyat.

Katanya, setiap pegawai yang dilantik atau mempunyai akses terhadap penggunaan saluran komunikasi rasmi kerajaan perlu kekal berkecuali dan profesional dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Justeru itu, CUEPACS menasihatkan semua pihak supaya menggunakan saluran rasmi kerajaan seperti media sosial atau laman web dengan lebih profesional dan mengelakkan penyampaian berbentuk kepentingan berkait unsur politik kepartian.

“CUEPACS bimbang kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam akan terhakis jika medium yang sepatutnya menjadi saluran rasmi kerajaan menyampaikan maklumat tidak dikendalikan dengan semangat profesionalisme yang tinggi.

“Sebagai penjawat awam kita perlulah sentiasa berikrar untuk menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik (apolitical) demi agama, bangsa dan negara. Mantera ‘Berkhidmat Untuk Negara’ adalah pegangan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

“Marilah kita bersama menjayakan aspirasi negara demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/676933/elak-guna-saluran-rasmi-kerajaan-untuk-politik-cuepacs?lmkls9s888l;n