Cemerlang dalam SPM, Steven Sim tunai janji

Oleh BURHANUDDIN ABD RAZAK

Cemerlang dalam SPM, Steven Sim tunai janji

Walaupun tiada pertalian darah, janji yang dibisikkan ke telinga saat sang ayah terlantar koma tiga tahun lalu,

kini berjaya ditunaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.

Cemerlang dalam SPM, Steven Sim tunai janji

Lebih membanggakan, Steven Sim kini mampu mengukir senyuman bahagia apabila anak angkatnya itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, beliau tidak membezakan ganjaran yang diberikan kepada anak kandung mahupun anak angkatnya, apabila setiap seorang diberikan ganjaran yang sama apabila mendapat keputusan cemerlang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkongsi beberapa keping gambar bersama anak angkatnya, Puteri Balqis sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Katanya, tiga tahun lalu beliau pernah berjanji kepada arwah ayah Puteri Balqis untuk menjaga anaknya seperti anak sendiri.

“Hari ini saya gembira sangat dapat gambar anak angkat saya Puteri Balqis dekat UIA.

“Abang Rano, Puteri Balqis dah masuk universiti, selangkah lebih dekat nak jadi doktor,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Steven Sim berkata, anak angkatnya turut mendapat elaun setiap bulan.

Ketika zaman pandemik COVID-19, beliau membelikan laptop untuk anak kandung dan anak angkatnya itu.

“Saya bagi ganjaran untuk anak kandung dapat keputusan cemerlang, anak angkat saya dapat RM100 untuk setiap A dalam SPM. Balqis dapat 8A.

“Sebelum ke UIA, saya tanya Puteri Balqis apa yang diperlukan, …dia segan, tapi hati ayah mana yang tidak tahu hasrat anak. Saya beritahu, laptop itu bagi dekat adik di sekolah menengah. Saya beli iPad untuk dia, hari ini dia hantar gambar di UIA pakai iPad warna pink, saya bangga,” katanya.

Sementara itu, rata-rata komen di laman sosial melahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan Steven Sim dalam membantu anak angkatnya.

Malah beberapa pengguna dilihat terinspirasi dengan usaha yang dilaksanakannya.

“YB yang terbaik, tidak memilih agama atau bangsa bila nak membantu. Inilah keikhlasan sejati. Semoga YB diberkati dengan kesihatan yg baik,” ujar Abby Biha.

“YB Steven memang salute. Tak perlu cerita politik hari-hari, tapi cerita kebaikan yang dilakukan demi anak bangsa Malaysia tercinta. Tahniah YB,” tulis Mohamad Azlan Roseli.

BACA: Demi cinta, gadis ini gadai maruah sampai 3 kali gugurkan kandungan, akhirnya mandul akibat gugur paksa