Calon Umno, Bersatu di PRN Sabah mewakili Pas – Zuhdi

Calon Umno, Bersatu di PRN Sabah mewakili Pas – Zuhdi

Sehari dua ini heboh disebarkan PAS tidak mendapat satu kerusipun untuk bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sabah. Rakan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) dikatakan tidak memberi laluan kepada PAS untuk bertanding kerusi DUN di negeri tersebut. Sudah ada suara-suara yang menyindir, PAS tidak dihormati malah ada yang menyebut PAS dikhianati oleh rakan-rakan PN dan MN.

PAN antara yang bersorak gembira, menyindir PAS yang dikatakan dipinggirkan di Sabah. Mereka menyatakan, walaupun mereka baru sahaja ditubuhkan beberapa tahun lalu, mereka tetap diberi laluan oleh Warisan Plus bertanding di Sabah. Bagi mereka yang penting mesti bertanding, walaupun belum tentu kerusi yang mereka tandingi akan menang. Bagi PAN bertanding kerusi adalah penting untuk menunjukkan mereka wujud di pentas politik Sabah.

PAS adalah sebuah parti Islam yang telah lama bertapak di Sabah, menceburi kegiatan dakwah dan siasah. Kegiatan dakwah yang dipelopori oleh PAS sudah lama bersemarak menunggu ranum buahnya. Kegiatan siasah yang diusahakan oleh PAS pun semakin meluas, cuma di dalam medan ini cabarannya lebih hebat menyebabkan segala gerak langkahnya perlu berhati-hati. Oleh sebab itu, soal bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini adalah secebis daripada kanvas keseluruhan kegiatan PAS di Sabah.

Sebagai sebuah parti yang berdisiplin, pendukung PAS boleh menerima apa sahaja yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan pimpinan utana parti. Memang sedih jika PAS tidak diberi laluan bertanding. Bagaimanapun, sama ada PAS diberikan kerusi atau tidak, PAS akan tetap bertanding. Calon-calon yang dihantar oleh UMNO, BERSATU dan rakan-rakan yang lain atas nama maslahah ummah sebenarnya adalah turut mewakiki PAS. Maka jentera PAS akan turun seratus peratus membantu wakil mereka yang bertanding.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
AJK PAS Pusat

11 September 2020
23 Muharram 1442

Sumber :

COMMENTS