Cadangan ‘Grand Coalition’ dari Amanah, perbincangan lebih dikuasai emosi dan sentimen

Kepada saudara Mohd Sayuti Omar II, kenyataan saudara berkaitan tulisan dibawah ini tersangatlah beremosi. Bagaimana seorang yang sedang marah mampu melakukan analisa sebaiknya sehingga menghilangkan rasionalnya sebagai penulis veteran.

Skeptikal itu baru muncul apabila AMANAH mencadangkan ide Grand Coalition yang sebenarnya sudah berlangsung secara tidak sengaja apabila semua ahli parlimen pembangkang mengumpul undi sejumlah 108 orang di Dewan Rakyat.

Respon saya pada tulisan beliau dibawah agar beliau menarik nafas dan menghelanya dengan perlahan. Menempelak isu berkaitan rokok itu hanya satu isu mengalih kejayaan menteri kesihatan dari AMANAH.

Menafikan kejayaan mantan menteri kesihatan yang berjaya mengawal penularan wabak pandemik Covid 19 adalah sesuatu yang misteri dengan status penulis veteran. Saudara Sayuti bukanlah pahlawan siber tetapi orang lama yang mampu menghadam sesuatu isu rentas emosi. Tapi itu sudah mula luntur dan lesu.

Menidakkan kejayaan pimpinan AMANAH seperti YB Adly Zahari , YB Khalid Samad , YB Mahfuz Omar sebenarnya menggerakkan jari jemari saya menulis respon ini.

Saudara Sayuti atau lebih mesra disapa Tok Ti mungkin terlupa akan tulisannya di Blog Merah Tinta MSO bertarikh 26 Ogos 2019 yang bertajuk Mencurigai masa depan Amanah(pautannya: http://msomelayu.blogspot.com/2019/08/mencurigai-masa-depan-amanah.html?m=1), ketika itu saudara memuji Menteri Wilayah, Timbalan Menteri Sumber Manusia, dan mantan Ketua Menteri Melaka. Lalu mengapa hari ini tulisan saudara seperti lalang yang layu ditiup angin?

Memukul rata dengan dakwaan hampir seluruh pimpinan tertinggi Amanah diberi gelaran Datuk juga bagi saya telahan yang tidak cocok dengan kedudukan saudara sebagai penulis veteran. Bang Mat sebagai Presiden tidak pun menerima sebarang gelaran Datuk atau pun Datuk Seri.

Adly Zahari yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke 11, sehingga hari ini tidak menerima apa pun darjah walau beliau berpeluang untuk menerima segala bentuk macam gelaran dan darjah. Apakah saudara juga menafikan pencapaian Adly ketika beliau memerintah Melaka?

Maka mahu saya simpulkan tulisan saudara sebenarnya adalah respon dan amarah kepada ide Grand Coilition yang dibawa oleh kami Parti Amanah Negara. Kerana itu juga saudara menjadi kabur dan tidak celik sedangkan saudara sendiri pernah memuji pada suatu ketika.

Ahli Parti Cap A
Muhammad Syafiq Azmi

Sumber :