Seorang lelaki berusia 64 tahun dipenjara selama sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini
atas tuduhan mencuri barangan makanan dan minuman, termasuk sardin, pencuci mulut, dan serbuk minuman kopi, pada hari Khamis minggu lepas.
Tertuduh, Jamaluddin Yusof, mengaku melakukan perbuatan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh mencuri 10 tin sardin, empat botol pencuci mulut, dan dua botol Nescafe di sebuah kedai serbaneka di Parit Raja sekitar pukul 1.15 tengah hari pada 18 April tahun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, seorang pekerja di kedai serbaneka tersebut berjaya menahan tertuduh sebelum menemui barangan yang disyaki dicuri.
Hasil soal siasat, tertuduh mengaku mengambil barangan tersebut dan laporan polis kemudiannya dibuat.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Kamarul Arifin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang lebih ringan memandangkan dia mempunyai tanggungan anak. Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal, dengan mengambil kira kerugian yang dialami oleh kedai dan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan, yang bermula dari tarikh tertuduh ditahan.
BACA: Restoran tak pernah basuh periuk, guna kuah sup yang sama sejak 50 tahun berniaga