Bukan semua tempat di KL boleh berniaga – Annuar

Bukan semua tempat di KL boleh berniaga – Annuar

Walaupun ‘wilayah bebas berniaga’ memberi kelonggaran kepada orang ramai membuka gerai perniagaan secara kecilan, tidak semua tempat sesuai untuk dijadikan tapak berniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjaja masih perlu membuat rundingan dengan dengan pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk makluman dan rekod data Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, ada kawasan yang sesuai dan boleh digunakan sebagai tempat berniaga secara percuma, tetapi DBKL perlu sentiasa mengawalnya, dan tapak berniaga perlu disusun dengan teratur.

“Saya gembira sejak pengumuman Kuala Lumpur akan menjadi wilayah bebas berniaga, ia mendapat sambutan yang menggalakkan, malah kita diberitahu penjaja dari luar wilayah juga datang, dan kita tidak terlalu bertegas soal itu asalkan beri kerjasama dengan MPP serta DBKL,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Surat Tawaran Lesen Penjaja di tapak Penjaja di Desa Pandan di sini hari ini.

Annuar berkata, penjaja juga dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita sedia maklum kawasan Lembah Klang mempunyai kes yang tinggi dan jika tidak dikawal, ia boleh melonjakkan kes jangkitan dan jika keadaan itu tidak terkawal, perniagaan juga perlu ditutup dan semua tidak boleh berniaga.

“Dalam sistem DBKL, jika berlaku pelanggaran SOP, amaran peringkat pertama, kedua akan dikeluarkan dan seterusnya penutupan serta-merta, jangan andaikan tidak ada pengawasan dan kawalan oleh pihak DBKL, malah kawalan akan diperketatkan,” katanya.

Pada majlis itu, 51 penjaja di kawasan berkenaan telah diberikan surat tawaran lesen oleh DBKL.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/641999/tidak-semua-kawasan-di-bandar-raya-sesuai-untuk-berniaga-annuar

COMMENTS