Perasaan ingin tahu adalah sifat semula jadi manusia, terutamanya apabila membaca berita mengenai jenayah, salah laku, atau gosip hiburan.
Namun, rasa ingin tahu itu sering terhalang apabila organisasi media memilih untuk menutup gambar
atau tidak mendedahkan nama sebenar suspek yang dikaitkan dengan kes tertentu.
Tindakan ini kerap mengundang kritikan daripada segelintir netizen, yang beranggapan ia tidak wajar.
Malah, ada yang meluahkan rasa marah dan menuduh media cuba melindungi pihak tertentu.
Memahami Etika Kewartawanan
Masyarakat perlu memahami bahawa keputusan menutup gambar atau nama suspek adalah berdasarkan etika kewartawanan, iaitu prinsip moral dan nilai akhlak yang menjadi panduan kepada wartawan.
Menurut Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, terdapat beberapa situasi di mana media perlu melindungi identiti pihak yang terlibat:
1. Suspek yang belum dituduh di mahkamah.
2. Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes salah laku seksual, terutama melibatkan ahli keluarga.
3. Kanak-kanak dan pesalah juvana.
4. Keluarga pesalah.
“Kita perlu ingat, seseorang yang dituduh belum dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah,” kata Ahmad Faisal.
Melindungi Masa Depan Kanak-Kanak dan Keluarga
Bagi kes melibatkan kanak-kanak, pesalah juvana, atau keluarga pesalah, langkah menutup identiti mereka adalah untuk melindungi masa depan mereka. Ahmad Faisal menjelaskan, jika identiti mereka didedahkan, masyarakat cenderung untuk menghukum secara sosial, yang boleh memberi kesan psikologi dalam jangka masa panjang.
“Kanak-kanak itu akan membesar dengan stigma masyarakat, dan ini sudah tentu memberi impak besar kepada kehidupan mereka,” katanya.
Peranan Undang-Undang dalam Kewartawanan
Ahmad Faisal turut mengingatkan masyarakat bahawa media di Malaysia beroperasi di bawah pelbagai undang-undang, termasuk:
-Akta Hasutan 1948
-Akta Fitnah 1957
-Akta Rahsia Rasmi 1986
-Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
-Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Organisasi media berusaha menyampaikan maklumat yang benar dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Masyarakat perlu sedar, media tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan. Segala tindakan berlandaskan undang-undang dan etika untuk memastikan tanggungjawab profesional kewartawanan terus terjaga,” jelasnya.
Dengan penjelasan ini, diharapkan orang ramai lebih memahami dan menghargai langkah media dalam melindungi hak serta privasi individu yang terlibat dalam laporan berita.
BACA: Mengidam mee sizzling? Ini resipi mudah buat di rumah pasti sedap