Bukalah mata, PN lebih pentingkan agenda politik dari membangun negara – Faiz Fadzil

Bukalah mata, PN lebih pentingkan agenda politik dari membangun negara – Faiz Fadzil

Seorang pemimpin Amanah mendakwa prestasi pelaburan negara akan lebih baik jika Pakatan Harapan (PH) masih mentadbir, susulan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal membawa masuk pelaburan ke Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah Faiz Fadzil berkata, rakyat seharusnya membuka mata dengan situasi terkini dalam negara, bahawa PN mementingkan agenda politik lebih daripada pembangunan negara.

“Selepas PH mengambil alih pada 2018, banyak langkah sudah diambil untuk memulihkan prestasi pelaburan negara. Hasilnya, FDI diluluskan untuk 2019 telah melonjak ke RM82.4 bilion, iaitu paling tinggi dalam sejarah,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan aliran masuk FDI Malaysia jatuh 68% ke USD2.5 bilion pada 2020, yang dilihat jauh teruk berbanding negara lain di ASEAN.

Dalam laporan itu, FDI Malaysia adalah USD2.5 bilion berbanding Singapura (USD58 bilion – jatuh 37%), Indonesia (USD18 bilion – jatuh 24%), Vietnam (USD14 bilion – jatuh 10%), Thailand (USD11.4 bilion – jatuh 50%), dan Filipina (USD6.4 bilion – naik 29%).

Faiz berkata, Malaysia terperangkap di tengah-tengah – kalah dengan Singapura dalam meraih pelaburan bernilai tinggi dan juga kalah dengan Indonesia dan Vietnam dalam meraih pelaburan berteraskan pembuatan besar-besaran berkos rendah.

Semasa pentadbiran 22 bulan kerajaan PH, gabungan itu sudah berusaha membawa masuk lebih banyak pelaburan bernilai tinggi terutama dalam sektor teknologi dan memudahkan proses pelaburan asing di Malaysia, katanya.

“Kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menggambarkan kegagalan menarik pelaburan asing ini bermula sejak pengambilalihan kerajaan pusat oleh PH pada Mei 2018 adalah tidak berasas dan mengelirukan,” kata Faiz.

Beliau berkata, kepercayaan pelabur terhadap Malaysia merosot sejak meletusnya skandal 1MDB pada 2015.

“Buktinya, pelabur asing mula lari daripada Bursa Malaysia dan menyebabkan RM19.5 bilion dana asing bersih meninggalkan pasaran ekuiti Malaysia pada 2015,” katanya.

Faiz berkata, setakat ini rekod terburuk pelaburan asing dicatatkan bawah pemerintahan PN, iaitu pada 2020 apabila RM25 bilion dana asing meninggalkan pasaran ekuiti negara. –FMT

COMMENTS